PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak meminta rakyat mengelak daripada terpengaruh dengan berita palsu mengenai ekonomi Malaysia yang didakwa kononnya menjunam.
Perdana Menteri berkata, laporan terbaru Bank Dunia menjawab dakwaan dan tohmahan terbabit, menunjukkan ekonomi Malaysia sedang berkembang pesat serta berada pada kedudukan kukuh dan kuat.
Katanya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang pada kadar 5.8 peratus pada suku kedua 2017, berbanding 5.6 peratus pada suku pertama tahun ini.
"Seperti diumumkan hari ini (semalam), kita berjaya mengatasi jangkaan dengan pertumbuhan 5.8 peratus (pada suku kedua 2017), berbanding 5.6 peratus pada suku pertama tahun ini," katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena sambutan ulang tahun Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) Ke-63, di sini malam ini.
Perdana Menteri berkata, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara terus meningkat tahun depan
Najib turut berharap organisasi seperti MBAM berada di barisan hadapan dalam industri pembinaan negara dan terus berkembang hingga mencapai industri kelas dunia.
Katanya, beliau amat berbangga apabila sehingga Mac lalu, kontraktor Malaysia memperoleh projek bernilai RM18.5 bilion di India, RM16.6 bilion dalam kalangan negara ASEAN dan RM12.4 bilion di Arab Saudi.
"Ini bukti keupayaan dan pengalaman kontraktor Malaysia yang mampu memperoleh projek di peringkat antarabangsa. Ia turut membantu pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan," katanya.
Beliau turut memuji MBAM atas inisiatif menggunakan sistem binaan berindustri (IBS) yang penting dalam industri kerana meningkatkan produktiviti serta mengurangkan sisa binaan dan kadar kemalangan.
-Berita Harian


