KUALA LUMPUR: Insiden keganasan yang berlaku ketika forum Nothing to Hide 2.0 anjuran Armada Parti Pribumi Bersatu (PPBM) semalam mungkin dirancang sendiri oleh parti tersebut bagi memburuk-burukkan UMNO serta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan kini berada dalam keadaan terdesak dan sanggup melakukan apa sahaja untuk menanam kebencian terhadap UMNO dan Najib.
“Kami tidak terkejut insiden semalam adalah perancangan mereka sendiri (PPBM dan Pakatan Harapan) kerana dengan pantas mereka menyalahkan UMNO sebelum polis selesaikan siasatan.
“Tindakan ini tidak matang dan sangat kebudak-budakkan, bagi masa untuk polis selesaikan siasatan dan jika ada bukti ahli UMNO terlibat ambil tindakan undang-undang kepada mereka,” katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen di sini hari ini.
Menurut Khairul Azwan, ahli-ahli UMNO tidak akan bertindak sedemikian di mana-mana juga forum apatah lagi anjuran parti lain dan beliau mahu pihak polis segera menjalankan siasatan serta mendakwa mereka yang terlibat.
“Kita tidak terlalu bodoh untuk buat begitu di program orang lain malah kita kutuk tindakan keganasan dan luar jangka yang berlaku pada program tersebut. Insiden ini adalah satu wake up call kepada PPBM untuk melihat sendiri masalah dalaman parti mereka,” katanya.
Di KUANTAN, Pergerakan Pemuda UMNO Pahang berharap masyarakat sedar bahawa pembangkang terutama PPBM tiada sebarang sumbangan terhadap negara kecuali hanya pandai memburukkan kerajaan dan Perdana Menteri.
Ketuanya, Mohd. Shahar Abdullah berkata, apa yang lebih menyedihkan adalah PPBM menyebabkan perpecahan dalam kalangan orang Melayu yang seharusnya dipertahan dan disatukan.
“Orang lain mungkin sedang bertepuk tangan melihat percakaran kita. Ketika kita berpecah, mudah bagi mereka menjalankan misi dan visi menggunakan ‘boneka’ yang telah diaturkan dalam kalangan kita,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Forum berkenaan katanya, memakan diri sendiri apabila Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad seolah-olah ‘kelu lidah’ untuk menjawab soalan hadirin yang salah satunya berkenaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Selain kecoh dengan insiden membaling kasut, kerusi dan suar, pelbagai spekulasi timbul akhirnya mengaibkan mereka terutama Dr. Mahathir apabila gagal menjawab persoalan yang dikemukakan hadirin dalam kalangan ahli PPBM sendiri,” ujarnya.
Tambahnya, lebih melucukan apabila UMNO dituduh menjadi penyebab sedangkan PPBM yang bertanggungjawab menganjurkan forum berkenaan termasuk membuat pemeriksaan keselamatan sebelum majlis berlangsung.
“Mudah sungguh kerja PPBM, jika forum itu menjadi, mereka mendapat nama. Apabila dikutuk, UMNO dapat busuk. Begitulah modus operandi pihak pembangkang sejak zaman dahulu dan kini ‘diperturunkan’ kepada Armada PPBM,” katanya.
- Utusan Malaysia

