Foto Astro Awani
Cubaan Israel untuk menggambarkan seolah-olah dirinya
menjadi 'mangsa' dengan mengecam keputusan Malaysia menghalang atlet negara itu
mengambil bahagian dalam Kejohanan Renang Dunia Para di Kuching bulan Julai ini
amat keji dan hina, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Beliau berkata dengan kecaman itu Israel sememangnya tidak
dapat dinafikan adalah hipokrit terbesar.
Loading...
Katanya negara itu mengecam Malaysia dengan dakwaan kononnya
mempolitikkan sukan, namun ia lupa bagaimana negara itu melantik diri sendiri
sebagai "penjaga" Palestin dengan memutuskan siapa yang boleh dan
siapa yang tidak boleh bertanding dengan atlet Palestin di tanah airnya
sendiri.
"Sudahkan Israel lupa bagaimana mereka secara haram
mengawal dan menentukan siapa atlet Palestin yang boleh meninggalkan negara itu
untuk menjalani latihan atau menyertai apa-apa pertandingan.
"Bukankah itu mempolitikkan sukan? Sebagai Menteri
Belia dan Sukan saya berpegang teguh dengan keputusan Malaysia," katanya
dalam kenyataan di Muar, malam tadi.
Isnin lepas Syed Saddiq dilaporkan berkata Malaysia tidak
akan membenarkan perenang paralimpik Israel untuk mengambil bahagian dalam
Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching dari 29 Julai sehingga 4 Ogos ini,
dan menurutnya perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat kabinet lepas, di mana
semua yang menghadirinya cukup jelas dengan keputusan Perdana Menteri, Tun Dr
Mahathir Mohamad.
Media hari ini melaporkan Israel mengecam keputusan Malaysia
itu dan mendakwa ia di dorong oleh sikap anti-semitisme Dr Mahathir yang tebal.
Syed Saddiq berkata semasa Amnesty International dan Human
Rights Watch mengutuk keganasan dan jenayah perang Israel, negara itu tetap
cuba memainkan peranan seolah-olah menjadi 'mangsa' komuniti antarabangsa.
"Malaysia tidak sepatutnya terlibat dengan rejim yang
kejam dan tidak berperikemanusiaan. Saudara-saudara kita di Palestin dibunuh
dengan kejam dan mereka yang hidup dipenjarakan seumur hidup di penjara
terbuka, dikawal ketat oleh rejim Israel," katanya.
Syed Saddiq berkata sekiranya Afrika Selatan boleh
diharamkan daripada Sukan Olimpik kerana rejim apartheid, Malaysia sebagai
negara berdaulat mempunyai hak untuk mengharamkan rejim pembunuh tajaan negara,
penjenayah perang, dan apartheid Israel itu daripada datang ke Malaysia, negara
yang cintakan keamanan.
"Saya berdiri teguh dengan saudara-saudara saya dari
dari Palestin, dan bukannya dengan Israel yang hipokrit," katanya. -Bernama


