KUALA LUMPUR — Tindakan undang-undang yang difailkan
oleh pejabat Peguam Negara bagi pihak masyarakat Orang Asli Temiar terhadap
kerajaan negeri Kelantan semalam menunjukkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan
(PH) komited melindungi hak masyarakat Orang asli di negara ini secara sah di
sisi undang-undang.
Loading...
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha
Moorthy berkata, Kerajaan Persekutuan sangat prihatin terhadap penafian hak
Orang Asli untuk menentukan masa depan sendiri selaras dengan peruntukan
undang-undang persekutuan dan undang-undang negeri yang melindungi hak mereka
tetapi telah dilanggar oleh kerajaan negeri Kelantan.
“Masyarakat Orang Asli Temiar di Gua Musang berhak mendapat
semua perlindungan yang sepatutnya daripada kerajaan persekutuan,” katanya
dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
“Meskipun terdapat banyak undang-undang di peringkat
persekutuan, Kenyataan Dasar Mengenai Pentadbiran Orang Asli Semenanjung
Malaysia 1961 selain kewajiban terhadap mereka dalam perjanjian internasional
tetapi prinsip penentuan nasib sendiri yang menjadi aspirasi masyarakat Orang
Asli telah diabaikan secara berterusan (oleh kerajaan negeri Kelantan),” kata
Waytha Moorthy.
Beliau juga menyatakan bahawa banyak kes pencerobohan tanah
masyarakat Pribumi berlaku tanpa persetujuan awal mereka yang melanggar cara
hidup dan menafikan hak mereka untuk mempunyai identiti dan martabat sendiri
sebagai rakyat.
Semalam, Jabatan Peguam Negara telah memfailkan tindakan
sivil di Mahkamah Tinggi di Kota Baru bagi pihak kerajaan persekutuan bagi
mendapatkan pengiktirafan hak tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor
berdekatan Gua Musang.
Kenyataan itu yang memetik Peguam Negara Tommy Thomas juga
berkata bahawa Jabatan Peguam Negara turut memfailkan injunksi bagi menghalang
pencerobohan dan pemusnahan tanah adat demi keuntungan komersial pihak swasta.
Thomas berkata kerajaan negeri Kelantan dan agensinya
baru-baru ini telah mengeluarkan lesen pembalakan kepada syarikat swasta yang
kemudian menggunakan jentera berat untuk menebang dan membawa keluar kayu balak
dari kawasan hutan luas yang ditebang untuk penanaman pokok durian dan getah
tanpa berunding dengan Orang Asli Temiar sebelum meluluskan lesen pembalakan
atau menawarkan apa-apa pampasan kepada mereka, menyebabkan hakisan, pencemaran
dan kemusnahan sistem ekologi dan landskap Pos Simpor. — Bernama


