Bekas Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim
berkata kemelut pelantikan Undang Luak Jelebu dapat diselesaikan jika menteri
besar memainkan peranan menasihati Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.
Bagaimanapun katanya, dua menteri besar yang ditemuinya
sebelum mengatakan tidak mahu campur tangan sekalipun perkara itu diperuntukkan
menerusi Artikel 16 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Loading...
“Artikel itu menyatakan menteri besar hendaklah menjadi
penasihat dan menasihatkan tentang hal-hal berhubung pemilihan Undang dan
pegawai adat di luak masing-masing.
“Tetapi ini tidak dilunaskan sampai hari ini,” katanya
kepada pemberita di Serembam hari ini.
Bekas Anggota Parlimen Jelebu itu percaya jika menteri besar
memainkan peranannya, kemelut yang kini memasuki tahun keempat selepas Undang
Luak Jelebu ke-15 Datuk Musa Abdul Wahab meninggal dunia pada 11 Sept 2014,
telah lama selesai.
Pada 20 Dis lalu, Datuk Lembaga Luak Jelebu Datuk Menteri
Sah Mangku Alam Raja Sari Ismail Mohd Zain mengumumkan pesara guru Maarof Mat
Rashad, 63 sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 namun tidak diiktiraf oleh Dewan
Keadilan dan Undang serta kerajaan negeri kerana tidak mengikut syarat yang
ditetapkan.
Itu merupakan kali kedua pelantikan Maarof tidak diiktiraf
selepas diumumkan kali pertama pada Jun tahun lepas.
Selain beliau, seorang ahli perniagaan berusia 41 tahun juga
pernah diumumkan sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 pada April 2016, namun turut
tidak diiktiraf.
Mengulas lanjut, Rais berkata sekiranya Dewan Keadilan dan
Undang bermuafakat serta memberi nasihat kepada menteri besar untuk memutuskan
seorang daripada tujuh calon yang telah dikenal pasti untuk dimasyhurkan
sebagai Undang Luak Jelebu, maka calon itu sudah pasti akan diiktiraf.
Penggiliran pusaka adalah mengikut susur galur waris
berundang Luak Jelebu iaitu antara Waris Ulu Jelebu (sulung), Waris Sarin
(tengah) dan Waris Kemin (bongsu).
Setelah Undang Luak Jelebu ke-15 (daripada Waris Sarin)
meninggal dunia, maka penggiliran pusaka kali ini jatuh kepada Waris Kemin yang
terdiri daripada Kemin Hulu, Kemin Hilir, Triang Hilir dan Sungai Pertang.
Dalam pada itu, Rais menyarankan agar luak-luak di Negeri
Sembilan mewujudkan perlembagaan bertulis masing-masing demi memelihara adat
dan memudahkan pelantikan seseorang Undang Luak.
-- Bernama


