Datuk Bandar Kuala Lumpur, Nor Hisham Ahmad Dahlan mendedahkan
beliau pernah disaman oleh pegawai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
(DBKL) atas kesalahan trafik minggu lepas.
Katanya, saman itu dikeluarkan ketika beliau memandu kereta
sendiri untuk bertemu saudaranya di sebuah hotel sekitar ibu kota.
Loading...
“Pada ketika itu hujan lebat, oleh kerana saya mahu cepat
saya ‘parking’ kereta saya di tepi jalan dan di atas garisan kuning.
“Ketika selesai bertemu saudara dan mahu mengambil kereta,
saya nampak kereta saya disaman dan penguat kuasa itu tidak tahu itu kereta
saya dan akhirnya saya tetap membayar saman sebanyak RM30,” katanya pada
wawancara khas ‘100 hari Datuk Bandar’ di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Katanya, kejadian itu turut mengingatkan beliau dan
kakitangan supaya tidak sesekali menyalahgunakan kuasa dalam apa jua keadaan.
“Tiada pengecualian dalam penguatkuasaan, sesiapa yang buat
salah mereka tetap akan disaman, macam saya sebagai Datuk Bandar sekali pun
turut disaman dan membayar saman seperti mana warga kota lain.
“Saya turut sentiasa mengingatkan kepada kakitangan supaya
tegur jika sesiapa membuat sebarang kesilapan, termasuk saya sendiri,” katanya. – Bernama


