Semua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK)
Parlimen Cameron Highlands mematuhi peraturan kempen yang tamat tengah malam
tadi.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun
berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan berlakunya kempen selepas
pukul 11.59 malam tadi.
Loading...
Mengenai proses pengundian hari ini, Azhar berkata semuanya
berjalan lancar dengan 29 pusat mengundi dibuka serentak tepat pukul 8 pagi.
"Daripada penelitian saya semuanya berjalan lancar
setakat ini (9 pagi) dan orang akan keluar ramai selepas ini," katanya
kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK)
Kampung Raja di Tanah Rata, hari ini.
Seramai 31,639 pengundi biasa layak mengundi dalam PRK
Cameron Highlands hari ini yang menyaksikan pertandingan empat penjuru
membabitkan calon Pakatan Harapan iaitu M. Manogaran, calon Barisan Nasional
(BN) diwakili Ramli Mohd Nor serta dua calon bebas iaitu bekas pensyarah di
Instititut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib dan petani, Wong Seng Yee.
Hanya Wong dan Sallehudin yang mengundi hari ini
masing-masing di SJK(C) Bertam Valley dan SK Sungai Koyan. Manogaran dan Ramli
bukan pengundi berdaftar di Cameron Highlands.
PRK itu diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov
lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN dalam Pilihan
Raya Umum ke-14 Mei tahun lepas, terbatal dan tidak sah apabila didapati
berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.
- Bernama


