Foto oleh Bernama
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata
kerjasama antarabangsa amat penting dan perlu dalam membanteras rasuah dan
jenayah disebabkan sempadan yang poros membolehkan wang dipindahkan dengan
mudah dari satu negara ke negara lain.
Perdana Menteri Malaysia itu berkata satu pengalaman
seumpamanya ialah bagaimana sejumlah wang dipindahkan dari dana 1Malaysia
Development Bhd (1MDB) secara pengubahan wang haram di Amerika Syarikat.
Loading...
"Saya percaya IAACA (Persatuan Pihak-Pihak Berkuasa Anti
Rasuah Antarabangsa) sangat penting, kerana sempadan-sempadan kini sangat
poros. Kerjasama antarabangsa juga dapat membantu mengurangkan kadar
jenayah," katanya dalam ucaptamanya pada Perhimpunan Agung IAACA ke-10 di
sini.
Dr Mahathir berkata negara-negara miskin tidak mampu untuk
menjadi kaya dan membangun seperti sepatutnya disebabkan rasuah yang
membantutkan pembangunan mereka, katanya dalam ucapan selama kira-kira 40 minit
itu.
Perdana Menteri berkata adalah penting untuk negara
memerangi rasuah tetapi negara juga harus memastikan pemimpin mereka tidak
mengamalkan rasuah.
Dr Mahathir berkata Malaysia secara relatifnya bebas rasuah
dalam tempoh 45 tahun pertama selepas ia merdeka tetapi amalan rasuah menjadi
amat buruk dalam tempoh 15 tahun lepas.
Terdahulu, Presiden IAACA Dr Ali Fetais Al-Marri melancarkan
Tabung Dr Mahathir Mohamad yang turut menyatakan kerajaan Malaysia bersetuju
untuk menyumbangkan RM500,000 kepada tabung itu manakala Emir Qatar Sheikh
Tamim Hamad Al-Thani akan memberi sumbangan sebanyak 1 juta Riyal Qatar (RM1.14
juta) lagi, lapor Bernama.
Ia adalah sebuah tabung bagi memerangi rasuah di peringkat antara
bangsa diberi nama 'Dr Mahathir Mohamad Fund' sebagai penghormatan terhadap usaha
perdana menteri itu dalam membanteras rasuah.
IAACA ditubuhkan pada 2006 untuk menggalakkan pelaksanaan
berkesan Konvensyen PBB Mengenai Rasuah yang turut ditandatangani oleh
Malaysia.
Malaysia adalah antara negara terawal menganggotai IAACA
yang kini mempunyai 140 negara anggota.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd
Ali, Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya dan Naib Presiden IAACA, Tan Sri
Abu Kassim Mohamed.


