Kereta terbang pertama Malaysia akan dipacu oleh teknologi
tempatan, kata Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Redzuan Md Yusof.
Beliau berkata prototaip kereta itu sudah ada dan dijangka
diperkenalkan kepada awam tahun ini.
Loading...
"Tahun ini adalah sasaran yang realistk kerana kita
sudah ada teknologinya. Semua ini tentang kecepatan pelaksanaan," katanya
kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif Pertumbuhan Malaysia, di Kuala
Lumpur, hari ini.
Beliau berkata kereta itu adalah selamat dan berupaya
terbang pada altitud rendah dan pada kelajuan munasabah.
"Pelaburan untuk membina prototaip lebih sedikit
daripada RM1 juta," katanya.
Mohd Redzuan berkata projek kereta terbang adalah cara untuk
kerajaan mewujudkan persekitaran yang mendorong rakyat untuk memikirkan tentang
teknologi baharu.
"Kami menyediakan pemangkin dan ekoistem bagi
merangsang rakyat untuk berfikir melangkaui apa yang kami lakukan hari
ini," katanya.
Beliau berkata projek itu juga bagi memanfaatkan keupayaan
negara dalam sektor aeroangkasa, dron, kenderaan tanpa pemandu (UAV) dan
automotif.
"Malaysia mempunyai kepakaran untuk cemerlang dalam
bidang aeroangkasa, dron, UAV dan kereta nasional, dan kita perlu menggunakan
kemahiran kita kerana apa yang penting adalah kita mahu menjadi negara
pengeluar," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata projek itu berasingan daripada
projek kereta nasional ketiga yang diilhamkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad.
Mengenai Pertumbuhan Malaysia, beliau berkata inisiatif itu
diterajui operator platform dalam talian ke luar talian Fave untuk membantu
peruncit luar talian di Malaysia memasuki dunia digital dari segi perkhidmatan
pembayaran, pemasaran, data dan kewangan.
"Ini selaras dengan misi kementerian untuk memperluas
dan menyelaraskan kegiatan keusahawanan kepada lebih bersasar," katanya.
Pengasas Fave Joel Neoh berkata inisiatif itu berobjektif
membantu 100,000 restoran di seluruh Malaysia untuk memanfaatkan digital
menjelang 2020.
"Ketika dunia pesat beralih kepada digital, perniagaan
luar talian terutamanya mereka dalam bidang minuman dan makanan serta runcit
perlu memanfaatkannya dan menyesuaikan diri dengan perubahan dalam tingkah laku
pengguna atau berisiko ketinggalan," katanya.
Beliau berkata inisiatif itu juga dilaksanakan secara usaha
sama dengan Grab Malaysia, Maybank, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia,
Persatuan Pembiayaan dan Nexus Produktiviti Peruncitan, Makanan dan Minuman. - Bernama


