KOTA BARU ― Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik
Abdullah berpandangan tidak wajar untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan
negeri melalui “jalan belakang” dan Pakatan Harapan (PH) di negeri berkenaan
harus dibiarkan memerintah sehingga tamat penggal.
“Kalau tanya saya secara peribadi biarlah berjalan apa yang
ada hari ini. Biar kekal kerajaan Pakatan Harapan (di Perak dan Kedah)... biar
mereka memerintah sehingga habis penggal. Bukan cara kita ambil sesebuah
kerajaan di tengah jalan,” katanya di sini hari ini.
Loading...
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas
cadangan kerajaan penyatuan ummah (UG) oleh Timbalan Presiden Umno Datuk Seri
Mohamad Hasan susulan kerjasama di antara PAS dan Umno.
Pada masa ini Kedah dan Perak diterajui oleh PH dengan
majoriti kecil iaitu masing-masing empat dan tiga kerusi Dewan Undangan
Negeri.
Mengulas kerjasama PAS-Umno, Mohd Amar menyifatkan hubungan
itu sebagai peringkat “orang muda baru bermain mata”.
“Kalau kita nak mengadakan kerjasama politik dalam bentuk
tahaluf kita memerlukan persetujuan daripada muktamar (PAS), tapi sekarang
belum sampai ke situ lagi seperti mana yang dilakukan dengan Parti Keadilan
Rakyat (PKR), DAP dalam Pakatan Rakyat sebelum ini.
“Mesyuarat (jawatankuasa bersama) baru-baru ini, kita baru
meneroka ruang-ruang ada keperluan-keperluan macam mana (dalam usaha politik).
Setakat ini tertumpu kepada pilihan raya kecil Rantau, itu fokus kita sekarang
ini,” katanya.
Ditanya mengenai dakwaan Pengerusi PH Tun Dr Mahathir
Mohamad bahawa kerjasama antara PAS dan Umno akan meminggirkan masyarakat bukan
Melayu, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata perkara
tersebut tidak akan berlaku. ― Bernama


