Ketua UMNO Bahagian Padang Serai Datuk Asmadi
Abu Talib memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini, Datuk Seri
Najib Razak memberikan sumbangan RM50,000 melalui cek atas namanya (Asmadi)
bagi menjalankan program parti di kawasan itu.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Saifuddin
Hashim Musaimi, Asmadi, 50, atau dikenali sebagai Cikgu Madi yang merupakan
seorang pesara guru menjelaskan, beliau menerima sumbangan itu semasa bertemu
Najib di Pejabat UMNO PWTC pada 2014.
Loading...
Beliau yang pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah
Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) memaklumkan, cek tersebut diterima
selepas pertemuan secara peribadi, lapor Sinar Harian lagi.
Dalam perjumpaan peribadi itu, saya menceritakan mengenai
pengalaman dan apakah perancangan saya sebagai Ketua UMNO bahagian menghadapi
Pilihan Raya Umum ke-14.
“Saya menjelaskan, saya ada sedikit perancangan namun
sebagai seorang guru terdapat kekangan untuk saya menjalankan program parti
termasuk dari segi masa tenaga wang ringgit dan sebagainya” ujarnya.
Menurutnya selepas menceritakan masalahnya, Najib kemudian
memberikan semangat selain memberi sumbangan untuk bantu parti dalam bentuk
cek.
“Cek tersebut berjumlah RM50,000 diberikan atas nama saya
sendiri Asmadi bin Abdul Talib sebelum saya tunaikan dalam akaun Maybank saya
yang bercawangan di Kulim High Tech”.
Sementara itu, menjelaskan tentang program yang dilaksanakan
di kawasan pentadbirannya, Asmadi berkata banyak program dilakukan termasuk
program melibatkan sekolah, program kebajikan dan peruntukan yang dipohon Badan
Bukan Kerajaan (NGO) dan pelbagai persatuan yang memohon kepada UMNO untuk
kelancaran program.
“Ada pihak yang menghantar surat permohonan ada yang tak
memohon melalui surat tetapi kalau ada program akan kita salurkan bantuan,”ujarnya.
Menjawab soalan Muhamad Saifuddin, Asmadi berkata, wang
jumlah RM50,000 sudah habis digunakan.
Sementara itu, menjawab soalan Peguam Tan Sri Muhammad
Shafee Abdullah semasa sesi soal balas, dia yang mula memegang jawatan sebagai
Ketua UMNO Bahagian Padang Serai pada 2013, pertemuan dengan Presiden UMNO itu
adalah sebagai tanda penghormatan dan memaklumkan presiden mengenai rancangan
untuk parti.
“Kami berbincang Padang Serai merupakan kawasan Pas malah
DUN Merbau Pulas merupakan kawasan PKR. Kami bincang bagaimana cara untuk
mengembalikan kawasan itu kepada BN,” katanya.
Jelasnya, banyak program perlu dilakukan termasuk perjumpaan
dengan masyarakat setempat dan penerangan kepasa ahli parti.
Tambahnya beliau turut memaklumkan untuk memberi sumbangan
untuk kawasan yang sering dilanda banjir dan rebut.
“Sebelum ini sebagai guru saya berjimat dengan duit gaji
saya untuk berkhidmat jadi saya harap bantuan daripada UMNO tapi mencukupi,”
katanya.
Tambahnya beliau tidak pernah meminta dan menerima bantuan
daripada menteri besar ketika itu iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Melalui sesi soal semula oleh Muhammad Saifuddin, Asmadi
menjelaskan, cek tersebut tidak diisukan atas nama UMNO Bahagian Padang Serai
namun ia dimaklumkan kepada pengurusan parti.
“Cek tidak dimasukkan ke akaun parti kerana ia akan
membabitkan Mesyuarat Agung dan perlu disemak Juruaudit” katanya.


