Polis tidak menolak kemungkinan akaun Facebook (FB) ‘Sabah
Sarawak Merdeka’ dimiliki warga asing yang cuba mencetuskan provokasi di negara
ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Fuzi berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menjejak
suspek-suspek terlibat.
Loading...
"Akaun (FB) yang dilaporkan menghina Yang di-Pertuan
Agong melalui hantaran di laman mereka, didapati telah dinyahaktif beberapa
hari lalu dan kemudian aktif semula, tetapi kita tidak dapat mengesan
pemiliknya.
"Polis tidak berdiam diri dan masih menunggu hasil
bantuan SKMM dan sehingga Jumaat lalu sebanyak 267 laporan polis berkaitan kes
tersebut telah diterima di seluruh negara," katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Istiadat Penganugerahan Pingat
Jasa Pahlawan Negara di Markas Briged Tenggara PGA Kem Bukit Galing, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan
Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Pengarah
Pengurusan Bukit Aman Datuk Abdul Rahim Jaafar.
Seramai 222 orang pegawai dan anggota polis, yang berkhidmat
semasa darurat sehingga tahun 1990 menerima pingat tersebut.
Sementara Puzi berkata, polis kini sedang melengkapkan
kertas siasatan kes penularan satu klip video dipercayai daripada rakaman
kamera litar tertutup (CCTV) perbicaraan kes bekas perdana menteri, Datuk Seri
Najib Razak, yang dimuat naik melalui laman sosial Facebook, Jumaat lalu.
Menurutnya, kertas siasatan itu akan diserahkan kepada
pegawai pendakwa raya selepas ia lengkap untuk tindakan susulan.
Rakaman itu dimuat naik menerusi akaun FB bekas pegawai khas
Najib, Isham Jalil Jumaat lalu dan sudah ditonton lebih 227,000 kali, selain
dikongsi lebih 3,700 akaun FB dan mendapat lebih 1,900 komen.
Rakaman CCTV itu dipercayai sedutan prosiding hari kelima
Najib di Mahkamah Kuala Lumpur. - Bernama


