Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menyeru semua pihak
supaya bersikap rasional dan tidak beremosi berhubung isu pelajaran jawi di
sekolah.
Beliau berkata tindakan sesetengah pihak yang terlalu
mengikut perasaan atau emosional dalam isu itu sehingga sanggup memperjudikan
masa depan kanak-kanak dilihat hanya merugikan negara memandangkan pendidikan
satu pelaburan penting untuk generasi muda.
Loading...
"Saya menyeru kepada semua pihak untuk kembali kepada
rasional dan pertimbangan. Jangan terlalu emosional dan jangan terlalu ikutkan
sangat perasaan.
“Pendidikan adalah satu pelaburan yang penting untuk
anak-anak kita.
Iklan
“Jangan jejaskan masa depan anak-anak kita hanya kerana isu
emosional. Pendidikan sangat penting. Sekolah tempat paling selamat untuk
anak-anak,” katanya pada sidang media, selepas merasmikan Persidangan
Penyelidikan & Inovasi Pendidikan Kebangsaan dan Pesta Buku Institut
Pendidikan Guru (IPG) 2019, di IPG Kampus Pulau Pinang, di George Town hari
ini.
Terdahulu dalam ucapnnya, beliau berkata, kementerian
pendidikan merancang untuk menganjurkan Kempen Malaysia Membaca di peringkat
kebangsaan dalam usaha menjadikan pembacaan sebagai gaya hidup rakyat negara
ini.
Kata beliau, pihaknya akan menjalankan gerakan kempen itu
dengan mengajak semua rakyat Malaysia memperuntukkan sedikit waktu untuk
membaca bersama-sama seperti penganjuran kempen membaca al-Quran, Malaysia
#QuranHour.
"Kami mengharapkan selepas ini banyak lagi program
pembacaan yang akan kami lakukan. Dalam perancangan, kami akan mengadakan acara
Malaysia Membaca di peringkat kebangsaan. Kita tahu bahawa contohnya Karangkraf
mereka menganjurkan Quran Hour, kempen membaca Quran.
"Macam tadilah kita ambil berapa minit ramai-ramai
membaca dan lepas ini kami akan buat di peringkat nasional dan juga kalau ada
pertolongan dari pihak media contohnya kita berkumpul di Dataran Merdeka, di
dataran negeri, kita ambil satu waktu kita akan membaca bersama-sama,"
katanya.
Maszlee berkata kajian turut menunjukkan tabiat membaca
dalam kalangan golongan muda semakin meningkat berbanding tahun-tahun sebelum
ini.
Bagaimanapun, menurutnya apa yang penting adalah memastikan
rakyat Malaysia memilih bahan pembacaan yang berkualiti sekali gus mereka boleh
menterjemahkannya ke arah pembangunan negara.
"Ia bukan hanya tentang membaca. Anda boleh membaca
banyak perkara tetapi akhirnya bagaimana kita boleh terjemahkan kepada
pembinaan bangsa.
“Bagaimana kita mahu terjemahkan ia ke dalam kehidupan yang
harmoni antara komuniti dan bagaimana ia boleh meningkatkan kesedaran awam
rakyat kita.
“Inilah tujuan kempen membaca kami untuk memastikan membaca
menjadi sebahagian budaya Malaysia.
“Ia bukan untuk tempoh singkat, ia mengambil sedikit masa
tetapi akhirnya apa yang saya harapkan dan impikan daripada kempen ini ialah
untuk menjadikan (Malaysia) bangsa membaca...semua orang membaca bahan
berkualiti,” katanya.
- Bernama


