Mahkamah Rayuan hari ini mengesahkan keputusan Mahkamah
Tinggi bahawa perbicaraan kes bekas perdana menteri Najib Razak atas dakwaan
rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan 1MDB akan bermula pada 19 Ogos.
Panel 3 hakim terdiri daripada Abdul Rahman Sebli, Zabariah
Mohd Yusof dan Hasnah Mohammed Hashim, dalam keputusan sebulat suara, menolak
kedua-dua rayuan yang difailkan pihak pendakwaan serta pembelaan.
“Ini bukanlah kes yang patut dan sesuai untuk campur tangan
mahkamah rayuan,” kata Hakim Abdul Rahman, yang mengetuai panel hakim itu.
Loading...
Beliau berkata mahkamah tidak diyakinkan hakim yang
berkenaan melaksanakan budi bicaranya atas prinsip yang salah dalam menolak
permohonan untuk penangguhan.
“Yang arif hakim telah pun mengemukakan alasan beliau, dan
kami berpendapat alasan yang beliau beri adalah sah,” katanya ketika
mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Hakim Abdul Rahman berkata hakim Mahkamah Tinggi turut
menjelaskan kepada pihak berkenaan bahawa beliau bersedia untuk memenuhi jadual
kedua-dua pihak apabila perlu.
“Selain itu, yang arif hakim memberi kebebasan kepada
pihak-pihak untuk memohon tarikh dikosongkan untuk perbicaraan kes SRC
International Sdn Bhd diteruskan,” katanya.
Hakim Abdul Rahman berkata pendakwaan tidak boleh memilih
untuk mengenakan pertuduhan berganda dan kemudian memilih untuk
menangguhkannya; 1 kes mesti diselesaikan terlebih dahulu sebelum kes yang 1
lagi, dan menambah, mahkamah tidak boleh digunakan semata-mata sebagai
repositori.
Pada 18 Julai, Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence
Sequerah menolak permohonan pendakwaan untuk menangguhkan perbicaraan itu, yang
juga dikenali sebagai “perbicaraan Tanore”.
Pendakwaan mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Tinggi
untuk perbicaraan ditangguhkan buat kali ke-4 sehingga selesai kes Najib
berkaitan dana SRC International Sdn Bhd.
Najib, 66, berdepan 4 pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram
membabitkan dana 1MDB, berjumlah RM2.28 bilion.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di
AmIslamic Bank Bhd, No 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, antara 2011 dan
2014.
Mengenai perbicaraan kes SRC yang sedang berjalan, Najib
berdepan 7 pertuduhan membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta iaitu 3
pertuduhan pecah amanah, 1 pertuduhan salah guna kuasa dan 3 pertuduhan
pengubahan wang haram.
Peguam Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib,
memaklumkan mahkamah beliau mendapat arahan untuk memfailkan rayuan di Mahkamah
Persekutuan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan
berkata pendakwaan akan turut merayu terhadap keputusan hari ini. - Bernama


