Bekas pegawai bank memberitahu Mahkamah
Tinggi di sini hari ini bahawa ahli perniagaan yang sedang diburu pihak
berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low, memaklumkan Datuk Seri Najib Tun Razak
tidak mahu menutup akaunnya dengan AmBank.
Perkara berkenaan didedahkan bekas Pengurus Perhubungan
AmBank Joanna Yu Ging Ping, 48, semasa pemeriksaan balas oleh peguam
Harvinderjit Singh pada hari ke-48 perbicaraan kes Najib yang menghadapi tujuh
pertuduhan salah guna dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM42 juta.
Loading...
Beliau mengesahkan transkrip perbualan antara beliau dan Jho
Low yang dibacakan di mahkamah oleh Harvinderjit.
Harvinderjit: Pada 20 Dis, 2014, kamu memaklumkan Jho Low
supaya menutup akaun Najib dan beliau memaklumkan 'tanya MNR (Mohd Najib
Razak), beliau tidak mahu ditutup'
Yu: Ya.
Sebelum itu, mahkamah diberitahu bahawa pada akhir 2014,
pengurusan kanan AmBank mencadangkan dan membincangkan mengenai penutupan akaun
semasa Najib memandangkan akaun tersebut sentiasa terlebih pengeluaran dan bank
sering perlu menunggu dana yang mencukupi didepositkan bagi menjelaskan cek
yang dikeluarkan Najib.
Yu berkata beliau tidak mensyaki apa-apa yang tidak kena
selama berurusan dengan Jho Low.
Harvinderjit: Adakah kamu bersetuju jika semasa kamu berurusan
dengan Jho Low, kamu mempunyai perasaan syak yang kuat bahawa beliau tidak
berkomunikasi dengan pemegang akaun (Najib), kamu akan memaklumkannya kepada
bank.
Yu: Saya akan memaklumkannya kepada (bekas pengarah urusan
kumpulan Ambank Group) Cheah Tek Kuang.
Harvinderjit: Dan kamu akan menjadi amat, amat keberatan
untuk berurusan dengan Jho Low bagi perkara yang berkait dengan akaun (akaun
Najib) itu?
Yu: Ya.
Harvinderjit: Tetapi kamu tidak mempunyai perasaan syak yang
kuat. Tidak sehingga sekurang-kurangnya 2014, 2015.
Yu: Apabila kami memberitahunya (Jho Low) untuk menutup
akaun (Najib) itu.
Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan Harvinderjit bahawa
RM5 juta yang dipindahkan daripada sebuah syarikat pembinaan, Putra Perdana
Development Sdn Bhd ke akaun MY Najib yang nombor akaunnya berakhir dengan 906,
dilakukan dalam tempoh sehari.
Pemindahan RM5 juta itu bertujuan untuk mengeluarkan cek
daripada akaun berakhir dengan nombor 906, menyebabkan sejumlah RM3 juta
terlebih dikeluarkan.
Yu berkata Jho Low telah memintanya memindahkan kembali RM27
juta dan RM5 juta ke akaun AmBank tertuduh yang nombor akaunnya berakhir dengan
880 dan 906, pada 2014.
Terdahulu, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 13 Ogos
untuk mendengar permohonan Peguam Negara Tommy Thomas supaya Najib memohon maaf
berhubung hantarannya di Facebook.
Najib, 66, menghadapi tiga tuduhan pecah amanah, satu
tuduhan menyalahgunakan kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram
membabitkan dana SRC International Sdn Bhd yang berjumlah RM42 juta.
Perbicaraan bersambung esok. -Bernama


