Sejumlah AS$700 juta daripada AS$1 bilion wang pembiayaan
syarikat usahasama yang dimeterai melalui perjanjian Murabaha antara syarikat
1MDB dengan PetroSaudi International LTD disalurkan ke akaun syarikat Good Star
milik Jho Low.
Timbalan Pendakwa Raya Kanan yang dilantik, Datuk Seri Gopal
Sri Ram berkata, daripada jumlah AS$700 juta tersebut telah diagihkan kepada
beberapa individu termasuk Putera Faisal yang merupakan sekutu rapat tertuduh,
Jho Low dan seorang Putera Turki.
"Putera Turki, tertuduh dan Jho Low begitu rapat
sehingga mereka bercuti bersama atas sebuah kapal layar di Selatan
Perancis," kata Sri Ram ketika membacakan kenyataan saksi.
Loading...
Sri Ram mendakwa Putera Faisal menerima AS$12.5 juta
daripada Good Star pada 18 Februari 2011 dan turut menerima sejumlah wang
tambahan sebanyak AS$12 juta pada 10 Jun 2011 hasil penipuan Murabaha.
"Daripada jumlah ini, beliau menyalurkan AS$20 juta
kepada akaun peribadi tertuduh melalui dua transaksi masing-masing berjumlah
AS$10 juta.
Transaksi pertama diterima oleh tertuduh pada 24 Februari
2011, iaitu enam hari selepas Putera Faisal menerima wang tersebut,"
katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Tambah Sri Ram lagi tertuduh menerima wang melalui transaksi
kedua pada 14 Jun 2011, iaitu, empat hari selepas Putera Faisal menerima wang
tersebut.
"Jumlah AS$20 juta adalah bersamaan dengan
RM60,629,839.43. yang merupakan perkara pokok pertuduhan pertama.
Fasa pertama ini berakhir pada 2012 selepas 1MDB tidak lagi
memiliki saham bernilai dan penipuan itu berjaya ditamatkan dan Good Star
digulung pada 2014 sementara Petro Saudi International (Caymen) digulung pada 8
April 2015," katanya.
Sri Ram mendakwa, pembayaran Good Star dibuat dengan
tergesa-gesa dan tanpa kelulusan dari lembaga pengarah 1MDB dan bercanggah
dengan hala tuju syarikat.
Tegas Sri Ram, pihak pendakwaan melalui dokumen akan
membuktikan bahawa pinjaman itu adalah palsu ketika pembayaran dijustifikasikan
kepada Good Star.


