Tangkap layar kursus Pendidikan Seni Visual (PSV) yang
dijalankan di sebuah sekolah di Perak dijalankan dalam bahasa Cina.
Dua buah sekolah yang terpalit dengan isu larangan bacaan
doa dan menggunakan bahasa Cina sepenuhnya ketika kursus Pendidikan Seni Visual
(PSV) telah diberikan peringatan tegas kerana melanggar Peraturan-Peraturan
Pendidikan.
Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Amin Senin berkata pihaknya
mengambil maklum kedua-dua isu yang tular di media sosial itu dan sedang
mempertimbang mengambil tindakan tatatertib jika perlu.
Loading...
Beliau berkata semua pentadbir sekolah perlu mematuhi Akta
Pendidikan dan surat-surat siaran yang diedarkan kepada mereka antaranya surat
siaran KPM Bilangan 13 Tahun 2016 - Perkara 5.11 dalam Garis Panduan Pengurusan
Majlis/Program/Acara dan Pengurangan Amalan Protokol dan Sambutan di
Bahagian/Jabatan Institusi Pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia
(KPM).
Selain itu, Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan
Peraturan-peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 yang menetapkan mata
pelajaran Pendidikan Seni adalah dalam bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu
bagi mematuhi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan
1963/67, katanya dalam satu kenyataan di sini emalam.
Kenyataan itu merujuk kepada isu larangan bacaan doa sempena
majlis Hari Kecemerlangan Pelajar Tahun 2019 Sekolah Kebangsaan Methodist di
Pulau Pinang dan penceramah menyampaikan kursus PSV dalam bahasa Cina
sepenuhnya di salah sebuah sekolah di Perak.
Amin berkata peringatan sama juga telah diberikan kepada
semua sekolah agar mematuhi semua Akta Pendidikan dan surat-surat siaran yang
diedarkan.
Beliau berkata ketidakakuran kepada peraturan-peraturan itu
boleh membawa kepada tindakan tatatertib atau tindakan lain yang sesuai kepada
pihak pentadbir sekolah yang terlibat.
loading...
KPM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang
melanggar peraturan-peraturan yang telah disediakan untuk rujukan semua,
katanya. — Bernama


