Tulisan saya ini adalah reaksi setelah saya membaca rencana
tulisan Dr Syed Husin Ali yang melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas
kepada Dr Mahathir Mohamad.
Saya memohon izin untuk mengupas satu demi satu dan
menjelaskan mengapa kenyataan Syed Husin dilihat tidak bertanggungjawab dan
terpesong.
Loading...
* “Mahathir tidak boleh dipercayai. Rakyat mendesak transisi
kepimpinan kepada Anwar Ibrahim”
Saya percaya bahawa sudah berulang-ulang kali Mahathir
memaklumkan beliau menghormati keputusan Majlis Presiden PH berkenaan status
beliau sebagai perdana menteri dan hala tuju masa hadapan.
Mengapa bersungguh-sungguh dan terburu-buru membuka isu ini
lagi?
Serangan seperti inilah yang menimbulkan persepsi bahawa ada
tangan-tangan ghaib yang ingin memporak-perandakan negara supaya Mahathir
didesak untuk meletakkan jawatan.
Malah, ia menimbulkan spekulasi yang tidak perlu dan tidak
diingini.
Kalau betul mahukan Mahathir berundur secara terhormat,
berilah ruang untuk beliau mentadbir negara dan bukan asyik mendesaknya
berundur walhal beliau dipilih oleh rakyat. Itulah makna terhormat.
Saya merupakan salah seorang anggota Majlis Presiden PH.
Saya merupakan wakil tunggal Pemuda PH dalam badan itu, khususnya semasa
perjanjian ditandatangani.
loading...
Tidak ada langsung garis masa “2 tahun” transisi peletakan
jawatan dalam dokumen yang ditandatangani oleh kami.
Dahagakan pembaharuan, bukan sabotaj
Kalau tiada, mengapa ada cubaan berbohong kepada rakyat?
Kenapa mendesak Mahathir meletak jawatan sekarang walhal perkara ini tidak
pernah dipersetujui oleh kami?
Di mana Syed Husin semasa perbincangan ini berlaku? Mungkin
dia lebih tahu daripada kami semua yang terlibat dalam Majlis Presiden PH.
Rakyat dahagakan pembaharuan dan penambahbaikan, bukan
obsesi transisi, bukan perebutan kuasa dan bukan politik sabotaj.
Obsesi transisi dan excessive politicking memusnahkan impian
kerajaan untuk membawa reformasi yang menyeluruh dan memulihkan ekonomi negara.
Apabila jerebu menyelimuti Malaysia, isu transisi
dibincangkan dengan hangat lagi.
Apabila Mahathir sedang meyakinkan pelabur di luar negara,
isu transisi dibangkitkan lagi.
Apabila Mahathir sedang sibuk memperkasakan institusi semak
imbang seperti SPRM, PDRM dan media, isu transisi lagi sekali dibangkitkan.
Enough is enough. Bagaimana kita semua mahu melangkah ke
hadapan apabila ada tangan-tangan ghaib yang mahukan kita untuk gagal?
* “Apa keperluan YAB Tun M berulang-alik ke luar negara
membazirkan duit rakyat. Apa hasilnya?”
Kita semua faham status Malaysia sebagai negara kleptokrasi
sebelum PRU14. Imej negara tercalar di mata dunia. Banyak pelabur takut untuk
datang ke Malaysia. Perjanjian berat sebelah seperti ECRL juga berleluasa.
Adakah kita mahu menikuskan diri daripada global diplomacy
yang mampu memulihkan imej Malaysia di mata dunia?
Nilai pelaburan meningkat ketara
Setiap satu lawatan rasmi Mahathir ke negara luar sentiasa
disusun dengan rangka kerja yang dapat memberikan manfaat besar kepada Malaysia
dan isinya.
Sejak beberapa lawatan rasmi Mahathir ke negara luar yang
lepas, saya sendiri boleh memetik beberapa kejayaan besar yang hanya dapat
dicapai dengan kerja keras beliau dan warga pentadbiran awam lain.
Antaranya:
• Rundingan semula dengan China berkenaan projek ECRL dapat
menyelamatkan lebih RM21.5 bilion wang rakyat dan melipatgandakan eksport
kelapa sawit Malaysia ke China.
• Quarter-to-quarter investment dari AS meningkat daripada
RM475 juta pada 2018 kepada lebih RM23 bilion pada 2019!
• Pelaburan dari Jepun meningkat secara mendadak dan bakal
membuka universiti dan hospitalnya di Malaysia.
• Malaysia bersama-sama Turki dan Pakistan akan mengerakkan
kempen besar-besaran untuk memerangi Islamophobia. Ia merupakan perpaduan ummah
yang sebenar antara negara-negara Islam.
• Maruah negara dipulihkan dan Malaysia dikenali sebagai
negara yang mengamalkan rule of law dan bukan lagi sebagai negara kleptokrasi,
sekaligus mengembalikan kepercayaan pelabur asing.
Bukankah ini semua manfaat kepada Malaysia? Sudah tentu
banyak lagi kerja yang harus kita semua lakukan untuk negara, tetapi
merendah-rendahkan usaha Mahathir hanya dengan menggelarnya sebagai
“berulang-alik ke luar negara membazirkan duit rakyat” adalah sangat tidak
wajar.
* “Kerosakan negara semua salah Mahathir, dari dulu sampai
sekarang”
Saya ingin lontarkan beberapa persoalan dengan kenyataan
ini.
Kalau negara rosak bawah pemerintahan Mahathir, adakah ia
juga bermaksud menteri-menteri, khususnya timbalan perdana menteri pada masa
tersebut juga patut dipersalahkan?
Timbalan perdana menteri dahulu merupakan Anwar, dan kini Dr
Wan Azizah Wan Ismail.
Disegani di mata dunia
Kalau Mahathir terpaksa dipersalahkan dalam semua perkara,
adakah ia juga bermaksud beliau boleh “claim all credit” dalam segala
pembangunan negara yang berlaku semasa 22 tahun pentadbirannya?
KLIA, Menara Berkembar Petronas, Putrajaya, Proton, Litar
Antarabangsa Sepang, UiTM, MRSM, peruntukan biasiswa Mara yang naik mendadak
dan lain lain.
Belum lagi jika kita hitung jutaan peluang pekerjaan
berkualiti yang tercipta semasa pentadbirannya.
Kita sendiri berasa nikmat apabila nama Malaysia dihormati
dan disegani di mata dunia.
Ya. Memang betul, tiada pemimpin yang bebas daripada
melakukan kesilapan. Persoalannnya, kenapa kita cuba mensabotaj usahanya
sekarang untuk memperbaiki kedudukan ekonomi negara?
Adakah desakan untuk beliau meletak jawatan secepat mungkin
akan memperkukuhkan kedudukan ekonomi negara? Sudah tentunya tidak.
Malah, lihat sahaja Indeks Demokrasi 2019 yang meletakkan
Malaysia di tangga 52 dari 165 negara serta Laporan Pemantauan Tadbir Urus
Korporat yang menobatkan Malaysia negara keempat terbaik di Asia Pasifik
berbanding ketujuh pada 2016!
Adakah ini bukan perkembangan positif yang kita raih
bersama?
Seharusnya, setiap bual bicara, cabang idea dan karangan
rencana kita semua menjurus kepada pembangunan negara dan menyumbang kepada
masyarakat. Jika tidak, pendamkan sahaja niat memburuk-burukkan seseorang.
Cukup-cukuplah taasub berpolitik. Rakyat mahukan kita fokus
kepada “politik perut” mereka, bukan sibuk dengan politik perebutan kuasa. Kami
yang berkhidmat, bukan yang berhormat.
SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN ialah menteri belia dan sukan
serta ketua Pemuda PH. Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi
kami.



