Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa
1Malaysia Development Berhad Energy Holdings Limited (1MEHL) pernah diberi
kelulusan oleh Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB untuk membuat pinjaman dengan
Deutsche Bank AG sebanyak US$1.225 billion pada 2014.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)1MDB, Datuk Shahrol Azral
Ibrahim Halmi, 49, berkata pinjaman pertama sebanyak US$250 juta pada 22 Mei
2014 dan US$975 juta pada 21 Ogos 2014 adalah bertujuan untuk pembayaran
penamatan 'Aabar Option'.
Loading...
Kelulusan untuk membuat pinjaman ini turut diluluskan oleh
Datuk Seri Najib Razak sebagai pemegang saham 1MDB dan juga sebagai Menteri
Kewangan Diperbadankan.
Katanya, ini kerana setiap urusan 1MDB yang melibatkan
kepentingan kewangan perlu mendapatkan kelulusan daripada Najib dahulu.
Shahrol Azral berkata demikian ketika membacakan penyataan
saksinya di Mahkamah Tinggi di sini pada hari ke-16 perbicaraan kes bekas
perdana menteri itu melibatkan dana 1MDB semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan
Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.
Ketika menjelaskan mengenai 'Option Aabar', saksi pendakwaan
kesembilan berkata beliau difahamkan pihak 1MDB dalam cadangan penyenaraian
tawaran awam permulaan (IPO) 1MDB Energy Group di dalam Bursa Malaysia.
"Ia dikenali sebagai Option Buy Back iaitu proses untuk
menebus semula “Aabar Options” ketika proses pembelian pengeluar tenaga bebas
(IPP) pada 2012 dahulu sebagaimana yang dimeterai oleh 1MDB dengan Aabar iaitu
di dalam Option Agreement.
loading...
"Penebusan Aabar Options ini dibuat melalui anak
syarikat 1MDB iaitu 1MDB Energy Holdings Limited," kata Shahrol Azral.
Bagaimanapun, saksi penting pendakwaan itu berkata beliau
tidak terlibat dalam proses berkenaan kerana pada Mac 2013 beliau telah
dipindahkan ke unit Pemandu dan tidak lagi menjawat jawatan sebagai CEO 1MDB.
"Walaubagaimanapun, saya telah dilantik sebagai salah
seorang Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB. Cuma ketika mesyuarat BOD 1MDB
berlangsung, apabila terdapat isu atau keperluan membuat keputusan berkaitan
sektor tenaga di 1MDB, saya menarik diri dari mesyuarat bagi mengelakkan
konflik kepentingan dengan jawatan saya di Pemandu," katanya.
Terdahulu, saksi mengesahkan dokumen bertajuk 'letter of
approval dan support (LOS)' daripada Najib selaku Menteri Kewangan bertarikh 29
Ogos 2014, bagi pinjaman US$250 juta dan US$975 juta yang diambil bagi proses
IPO 1MDB Energy Group di dalam Bursa Malaysia.
Menyentuh mengenai pembukaan akaun bank 1MDB Energy Holdings
Limited di Falcon Private Bank, Hong Kong pada 9 Okt 2012, saksi berkata bank
itu dipilih oleh pengarah 1MDB Terence Geh dan ahli perniagaan dalam buruan,
Low Taek Jho atau Jho Low.
"Tetapi saya tidak mempersoalkan kenapa mereka memilih
bank ini dan apa tujuan utama akaun ini dibuka di sini cuma apa yang saya tahu
bank ini dimiliki oleh Aabar dan ini mungkin akan memudahkan lagi urusan 1MDB
Energy Holdings Limited dengan pihak Falcon Private Bank Limited nanti,"
katanya.
Ketika ditanya Sri Ram, apakah tujuan akaun itu dibuka di
Falcon Private Bank Limited, Shahrol Azral berkata beliau tidak ingat.
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan
kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan
21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan
rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di
Kuala Lumpur antara 24 Feb, 2011 dan 19 Dis, 2014 manakala bagi semua
pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac, 2013 dan 30 Ogos, 2013, di tempat
sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah
bersambung Isnin.
- Bernama


