Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad disaran tidak hadir
ke Kongres Maruah Melayu di Stadium Malawati, Shah Alam esok.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Shatiri
Mansor berkata, Dr Mahathir tidak perlu terlibat dengan kongres berkenaan bagi
menggelakkan rakyat berada dalam keadaan dilema.
Loading...
Beliau berkata, penganjuran kongres tersebut dilihat hanya
akan mencetuskan isu perkauman di negara ini.
"Nasihat saya, elok beliau jangan pergi. Pendapat saya
begitu kerana kalau tidak ia hanya akan membakar lagi isu perkauman di negara
ini," katanya kepada Sinar Harian selepas forum terbuka bertajuk 'Malaysia
Baru Rasisme Lama' yang berlangsung di Gerak Budaya semalam.
Mengulas lanjut Shatiri berkata, hak kaum Melayu di negara
ini sudah terjamin seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Tambah beliau, penganjuran kongres berkenaan juga lebih
terarah kepada mainan politik semata-mata.
loading...
"Jadi saya harap Dr Mahathir dapat melihat semua ini
dengan jelas," katanya.
Kongres Maruah Melayu dijangka menghimpunkan ribuan
masyarakat daripada pelbagai latar belakang dalam usaha mencari penyelesaian
bagi memperbaiki kedudukan dan maruah Melayu.
Kongres yang dijadualkan bermula jam 8 pagi itu adalah
anjuran bersama Universiti Malaya; Universiti Teknologi Mara (UiTM); Universiti
Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta
Persatuan Peguam Muslim Malaysia.
Universiti Malaya akan mengendalikan persoalan politik,
Universiti Teknologi Mara (ekonomi), Universiti Pendidikan Sultan Idris
(pendidikan) dan Universiti Putra Malaysia pula akan menumpukan isu kebudayaan
serta agama.
Untuk rekod Stadium Malawati Shah Alam boleh menampung sehingga
15,000 orang. - Sinar Harian

