Khazanah Nasional Bhd berjaya mengurangkan nilai tanggungan
hutang kepada RM47 bilion daripada RM55 bilion dalam tempoh setahun melalui
penjualan aset dan pelaburan, kata Pengarah Urusannya Datuk Shahril Ridza
Redzuan.
Beliau berkata dalam tempoh tersebut juga, syarikat
pelaburan strategik negara itu telah berjaya menjana pendapatan sebanyak RM9
bilion serta di jangka kembali pulih dan mampu menjana potensi pendapatan
berjumlah RM5 bilion tahun ini.
Loading...
“Walaupun nilai aset yang kita ada masih di tahap yang lama
iaitu RM130 bilion, tapi hutang yang kita ada telah turun sebanyak RM10 bilion,
jadi dari segi aset bersih kita ataupun lembaran imbangan bersih kita nampak
lebih kukuh lagi,” katanya dalam temu bual di RTM hari ini.
Shahril turut berkata bahawa proses penjualan aset juga
dilihat mampu menstruktur semula aset sedia ada agar lebih mampan dan berisiko
rendah.
“Kalau dari jangkaan kita, Khazanah boleh dan sepatutnya ada
hutang dalam lingkungan RM35 bilion, sebab dengan menggunakan kombinasi hutang
dengan ekuiti daripada kerajaan, kita boleh maksimumkan pendapatan kita.
“Sepertimana kalau syarikat lain, kalau dia nak beli aset
dia takkan beli aset dengan ekuiti sahaja, dia akan beli ekuiti dengan hutang
sekali,” tambahnya.
loading...
Katanya, penjualan aset merupakan satu strategi perniagaan
dan rakyat tidak perlu khuatir mengenainya.
“Kalau kita tengok dari segi pandangan umum, (mereka)
mungkin tersilap, mereka mungkin ingat kita menjual sahaja tetapi dari segi
lain, bila kita menjual aset dan kita menjana duit atau dana baharu daripada
jualan aset itu, dana itu akan digunakan untuk dua perkara, satunya dilaburkan
semula dalam aset baharu supaya menjana keuntungan (bagi) Khazanah dan
kerajaan,” katanya.
Khazanah, menurut Shahril, menggunakan dana itu untuk
mengurangkan jumlah hutang ditanggung serta berperanan menjana pulangan hasil
daripada aset yang dibeli, sekaligus meningkatkan pendapatan kerajaan melalui
hasil dividen.
Bagi tahun 2018, Khazanah mencatatkan kerugian sebelum cukai
sebanyak RM6.271 bilion berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM2.896
bilion pada tahun sebelumnya.
Keuntungan terjejas akibat jumlah pelupusan yang lebih
sedikit berbanding tahun-tahun sebelumnya, pendapatan dividen yang berkurangan
dan peruntukan bagi susut nilai yang lebih tinggi, ketika ia melalui proses
peralihan, yang juga seiring dengan ketidaktentuan pasaran.
Khazanah mengisytiharkan dividen sebanyak RM1.5 bilion untuk
2018.
Kerajaan Pakatan Harapan pada tahun lepas telah memulakan
penstrukturan dan penyusunan semula Khazanah yang melibatkan perubahan
kepimpinan dalam Lembaga Pengarah dan Pengurusan, serta pengenalan mandat dan
objektif yang baharu.
- Bernama


