Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Felda
telah menyalurkan dana kepada anak syarikatnya iaitu Felda Investment
Corporation Sdn Bhd (FICSB) berjumlah RM653 juta antaranya untuk tujuan
pelaburan serta perniagaan.
Pengarah Unit Transformasi Felda, Mohd Shahrin Mohd Ali, 50,
berkata pembayaran dana itu ialah RM499.5 juta pada 27 Mei 2014;
RM51,208,139.71 (23 Sept 2014); RM100 juta (29 Mei 2015); RM 1 juta (21 Okt
2015) dan RM1.88 juta pada 28 Okt 2015.
Loading...
Beliau berkata pembayaran dana RM499.5 juta merupakan
pendahuluan (advance) yang diberikan kepada FICSB melalui pinjaman yang Felda
perolehi daripada Maybank Islamic Berhad.
Saksi pendakwaan ketiga itu berkata demikian ketika membaca
penyataan saksi semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam
Abdul Aziz pada perbicaraan hari pertama kes bekas Pengerusi Felda, Tan Sri
Mohd Isa Samad di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Beliau berkata dana RM51,208,139.71 adalah untuk modal
berbayar kepada FICSB daripada dana dalaman wang Felda.
"Modal berbayar ini adalah satu jumlah suntikan modal
yang boleh diguna pakai oleh FICSB untuk keperluan operasi perniagaannya. Modal
berbayar yang diberikan kepada FICSB adalah dianggap sebagai pelaburan yang
akan memberi pulangan dividen jika syarikat tersebut mendapat keuntungan,"
katanya.
loading...
Mohd Shahrin yang pernah bertugas sebagai Pengarah Kewangan
Felda sehingga Mac 2019 berkata dana berjumlah RM100 juta merupakan bayaran
pendahuluan kepada FICSB bagi membiayai pembelian Merdeka Palace Hotel &
Suite (MPHS) di Kuching, Sarawak.
"Dana ini merupakan pendahuluan (advance) yang
diberikan kepada FICSB melalui pinjaman yang Felda perolehi daripada Kumpulan
Wang Simpanan Pekerja (KWSP)," katanya.
Saksi itu turut mengesahkan dana yang diberikan oleh Felda
kepada FICSB sebanyak RM1 juta telah disalurkan kepada anak syarikat itu
sebagai pinjaman yang perlu dibayar balik oleh FICSB kepada Felda.
"Saya juga sahkan dana berjumlah RM1.88 juta yang
disalurkan kepada FICSB sebagai pinjaman yang perlu dibayar balik anak syarikat
itu kepada Felda," katanya.
Pada 14 Dis 2018, Mohd Isa, 70, mengaku tidak bersalah atas
satu pertuduhan pecah amanah, dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah
lebih RM3 juta di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April
2014 dan 11 Dis 2015.
Perbicaraan bersambung esok. - Bernama


