KUALA LUIMPUR 2 MEI 2015: Komposer DJ Fuzz akui sudah lama meninggalkan kerjayanya sebagai pengacara lagu (DJ) di pusat-pusat hiburan mahupun di majlis-majlis rasmi.
Dia berkeputusan sedemikian disebabkan faktor usia yang kini mencecah 40an dan lebih fokus menguruskan kerja-kerja belakang tabir seperti mencipta lagu-lagu baru kepada penyanyi tempatan.
“Berhenti sebab saya tak larat, buat masa sekarang saya juga banyak uruskan hal-hal syarikat rakaman saya iaitu Mixilogi Music dan cipta lagu-lagu baru.
“Dalam waktu yang sama, dah tiba masanya saya beri ruang kepada DJ muda untuk beraksi di gelanggang ini agar ada pelapis baru dari masa ke masa,” katanya kepada portal Murai.com.my.
Fuzz yang ditemui media di Majlis Let’ Santai Bersama Life Record di ibu negara baru-baru ini turut menasihati DJ generasi baru agar tidak terlalu urban dan cuba untuk ‘mix’ lagu-lagu tempatan.
“Saya akui ramai yang berbakat di luar sana, saya juga pernah ada buka kelas DJ untuk anak-anak muda, tetapi mereka lebih gemar ke muzik urban, hip hop dan lain-lain.
“Bagi saya untuk lebih mencabar untuk kerjaya DJ ialah cari kelainan dengan bermain dengan muzik-muzik tempatan, saya pasti ia sukar tapi menyeronokkan,” katanya.
Mixilogi Music kini mempunyai 8 orang artis iaitu Mark Adam, Iwere, Lawa Nie Geng, Karmal, Juzthin, Erza Bahra dan Eleena Harris.
sumber: murai.com.my


