ALOR SETAR - Enam adik beradik, termasuk seorang daripadanya orang kurang upaya (OKU) yang disyaki diabai, diselamatkan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar.
Semua yang berusia antara dua hingga 13 tahun itu diselamatkan di kediaman mereka berhampiran Kampung Teluk Chengai, Kuala Kedah, di sini, kira-kira jam 8.30 pagi, kelmarin.
Pegawai Pelindung Kanak-Kanak Daerah Kota Setar, Mohd Basharudin Samsudin berkata, lima daripadanya kanak-kanak lelaki dan seorang lagi remaja perempuan berusia 13 tahun.
“Kes enam beradik berkenaan dirujuk daripada media sosial.
"Kita mengesyaki mereka enam beradik hidup terabai dalam kediaman usang," katanya.
Menurutnya, melalui siasatan, enam beradik terbabit tinggal dalam rumah usang yang hampir roboh tanpa bekalan air dan elektrik.
"Kebanyakan mereka tidak bersekolah itu menggunakan air dari tali air berdekatan untuk mandi dan membersihkan diri.
"Lebih menyedihkan, seorang kanak-kanak berusia enam tahun adalah OKU kategori cacat fizikal dan tidak mampu bercakap," katanya.
Mohd Basharudin berkata, bapa kanak-kanak berkenaan seorang buruh binaan berusia 37 tahun, manakala ibu mereka, 39, bekerja kampung.
“Ketika si bapa keluar bekerja, si ibu yang disyaki penagih dadah gagal menjaga kanak-kanak terbabit sebaik mungkin.
"Empat kanak-kanak terbabit yang berusia antara dua hingga lapan tahun disyaki masih belum didaftarkan kelahiran mereka," katanya.
Menurutnya, buat sementara waktu, enam beradik terbabit ditempatkan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
"Pemeriksaan mendapati kesihatan dan berat badan enam beradik berkenaan normal, cuma mereka tidak terurus dan tercicir," katanya.-Sinar



