KOTA TINGGI: Polis menahan seorang wanita berusia 27 tahun susulan laporan penemuan seorang bayi lelaki yang masih hidup di dalam longkang di belakang sebuah rumah di Felda Lok Heng, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman, berkata
pihaknya mendapat maklumat pada jam 2.30 petang semalam berhubung
penemuan bayi yang baru dilahirkan di dalam longkang rumah jirannya.
Beliau berkata bayi itu kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Felda Lok Heng untuk rawatan dan seterusnya dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan lanjut.
Rahmat berkata siasatan awal mendapati bayi itu, yang dipercayai baru
dilahirkan lebih kurang sejam dan masih bertali pusat, ditemui dalam
keadaan tertiarap dan menangis di dalam longkang di belakang sebuah
rumah.
"Berikutan itu, anggota kita juga berjaya menahan seorang wanita dipercayai ibu bayi tersebut, berasal dari Ulu Tiram, yang dipercayai melahirkan bayi terbabit di
dalam tandas rumah saudaranya tanpa pengetahuan sesiapa," kata beliau
dalam kenyataan di sini, hari ini.
Rahmat berkata siasatan lanjut mendapati wanita itu membuang bayi
berkenaan dari tandas ke luar rumah melalui ruang antara dinding dan
bumbung sebelum bayi itu terjatuh ke dalam longkang yang tidak
mengandungi air dan hanya pasir basah.
Beliau berkata wanita terbabit ditahan reman selama sehingga 4 Mei ini
bagi membantu siasatan. - BERNAMA
Sumber: berita harian ahad 3Mei2015
Loading...
loading...

