Mynewsblog

Sumber Isu semasa,berita, ekonomi, bisnes, kewangan,automotive, politik dan sebagainya.

Azmin bantah, mahu Anwar ubah semula lantikan agar ‘adil, bukan sogokan politik’


Datuk Seri Azmin Ali menggesa presiden PKR mengubah senarai pelantikan semalam agar lebih “adil” dan “profesional” bagi mencerminkan hasrat “semangat musyawarah”.

Tanpa menyebut nama atau jawatan, kecuali setiausaha agung, timbalan presiden PKR menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik “berdasarkan merit dan bukan imbuhan atau sogokan politik”.


Loading...

“Pelantikan yang telah diumumkan tidak mencerminkan prinsip ‘fair and just representation’ terhadap aspirasi anggota dan tidak akan membantu parti untuk maju ke hadapan.

“Beberapa individu yang dinamakan juga terlibat secara langsung dalam proses pemilihan yang tidak telus dan menyebabkan punca perpecahan dalam parti,” kata Azmin dalam kenyataannya.

Beliau mahu merujuk Anwar sekali lagi untuk membincangkan masalah tersebut walau hasratnya dan majoriti ahli majlis pimpinan pusat (MPP) sudah dimaklumkan sebelum ini, lapor Projek MM hari ini.



Rafizi Ramli, pencabar Azmin yang tewas dalam pemilihan PKR, dilantik untuk menyambung tugas naib presiden PKR sekali, bersama Chang Lih Kang dan Ali Biju yang baru dilantik.

Pelantikan mereka diumum Anwar dalam satu kenyataan selepas mesyuarat MPP semalam.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dikekalkan sebagai setiausaha agung, manakala Lee Chean Chung sebagai bendahari agung yang baharu.

Ketua penerangan dan setiausaha pengelola parti masing-masing diserahkan kepada Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Jawatan setiausaha agung, kata Azmin lagi, harus dipikul oleh seseorang yang "profesional", bertugas selaras kesepakatan parti dan "bukan mengambil pendirian secara berasingan."

"Begitu juga pelantikan MPP yang seharusnya dibuat berdasarkan merit dan bukan sebagai imbuhan atau sogokan politik untuk meraih sokongan undi dalam MPP," kata menteri itu lagi.

Anwar semalam turut melantik enam anggota baru MPP: Lee Khai Loon, Syed Ibrahim Syed Noh, S Kesavan, Faisal Sanusi, Rayyan Abdul Rahim dan Raymond Ahuar.

Kebanyakan mereka yang dilantik ini dipercayai pendukung kuat pasukan Rafizi, yang menyerang dengan sengit kumpulan Azmin dalam pemilihan antara September hingga November lepas.

Pelantikan pengerusi-pengerusi negeri yang dibuat oleh Anwar baru-baru ini juga dipertikaikan dengan tuduhan "nepotisme" dan tidak dipersetujui ketua-ketua cabang.
Loading...
loading...