Foto Malay Mail
DAP dijangka mengumumkan calon yang akan bertanding kerusi
Parlimen Cameron Highlands pada pilihan raya kecil (PRK) dalam masa sepuluh
hari lagi.
Naib Presiden DAP, M. Kula Segaran berkata perkara itu akan
diumumkan Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng.
Loading...
"Kerusi parlimen itu adalah kerusi (tradisi) DAP
seperti yang telah diputuskan oleh (pimpinan) Pakatan Harapan (PH) dan kita
akan umumkan calon selepas Setiausaha Agung (Lim) mengadakan perbincangan
dengan pihak-pihak yang berkaitan.
"Mulai esok saya bersama-sama (Penasihat DAP) Lim Kit
Siang akan mengadakan siri jelajah yang pertama di sekitar kawasan perkampungan
Orang Asli di Ringlet dan berharap penduduk di Cameron Highlands memberi
sokongan yang kuat kepada PH supaya kita dapat mengambil alih kerusi
tersebut," katanya.
Kula Segaran yang juga Menteri Sumber Manusia dan Anggota
Parlimen Ipoh Barat berkata demikian kepada pemberita selepas mengedarkan
kalendar 2019 kepada orang ramai di Pasar Awam Kampung Tawas, Ipoh, hari ini.
Pada 4 Jun lepas, calon DAP M. Manogaran memfailkan petisyen
memohon perisytiharan bahawa keputusan PRU14 pada 9 Mei lepas bagi kerusi
Parlimen Cameron Highlands yang disandang Datuk C. Sivarraajh dari MIC terbatal
kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan
Sivarraajh yang merupakan Naib Presiden MIC itu tidak layak bertanding dalam
PRK berkenaan yang bakal diadakan pada 26 Jan tahun depan.
Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata perkara itu
diputuskan selepas mengkaji keseluruhan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 30
Nov lalu, serta Perakuan Hakim Pilihan Raya di bawah Seksyen 36 (2) (a).
Katanya, SPR juga telah meneliti Laporan Pilihan Raya di
bawah Seksyen 37 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) bertarikh 13 Dis
lalu serta pandangan undang-undang mengikut Akta 5.
"Dalam tempoh lima tahun bermula 13 Dis 2018,
Sivarraajh tidak boleh didaftarkan atau disenaraikan sebagai seorang pemilih
atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya, dan tidak boleh dipilih dalam
mana-mana pilihan raya," kata Azhar Azizan dalam satu kenyataan.
Pada pilihan raya umum ke-14, Sivarraajh memenangi kerusi
Parlimen Cameron Highlands dengan memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran
dari PKR dengan 9,710 undi, Wan Mahadir Wan Mahmud dari PAS (3,587 undi), Mohd
Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B Suresh Kumar dari Parti Sosialis
Malaysia (PSM) (680 undi).
-- Bernama

