KUALA TERENGGANU, 5 Dis — Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi
Awang menafikan berlakunya krisis dalaman parti antara beliau dan Menteri Besar
Ahmad Shamsuri Mokhtar hingga wujudnya dua kumpulan dalam PAS Terengganu
seperti yang tular di laman sosial.
Beliau menyifatkan ia sebagai satu tuduhan tidak berasas
yang dilakukan oleh pihak tertentu yang ingin mengeruhkan hubungan baik antara
beliau bersama bekas setiausaha politiknya itu.
Loading...
“Apa yang dikatakan di media sosial itu semua tidak benar...
hubungan PAS dan kerajaan negeri juga sangat baik.
“Saya yang lantik dia (Ahmad Samsuri) bertanding di kawasan
saya (Ru Rendang) pula takkan mudah-mudah nak suruh dia berhenti gitu,” katanya
ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Memperingati Itqan Al-Muluk
Bita'dil As-Suluk (Undang-undang Tubuh Kerajaan Terengganu) di Taman Tamadun
Islam di sini, semalam.
Program itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa
Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahri Mamat bagi
mewakili Ahmad Samsuri.
Abdul Hadi diminta mengulas mengenai isu itu yang antara
lain mempersoalkan kepimpinan Ahmad Samsuri khususnya mengenai wang royalti
petroleum dan gesaan mahu beliau digantikan dengan anak Abdul Hadi, Muhammad
Khalil yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk jika
berlakunya pertukaran jawatan itu kelak.
Sementara itu, Satiful Bahri yang juga Timbalan Pesuruhjaya
PAS Terengganu tidak menolak kemungkinan ada pihak yang cuba mengalih perhatian
daripada membincangkan isu penolakan ICERD yang diperjuangkan oleh parti pembangkang iaitu PAS dan Umno.
“Malah hubungan kami sangat baik... antara exco dan Menteri
Besar...kita saling bekerjasama untuk memajukan Terengganu... banyak perkara
dan tanggungjawab negeri yang kami kena fikirkan dan galas sampai tidak
terfikir pun isu ini (ganti Menteri Besar),” kata ADUN Paka itu. — Bernama


