KUALA LUMPUR: Low Taek Jho atau Jho Low mendakwa pertuduhan
mahkamah yang dikenakan terhadapnya bertujuan mengalihkan perhatian terhadap
“kegagalan rejim Mahathir” mentadbir negara.
Loading...
Ahli perniagaan yang diburu polis seluruh dunia, Jho Low
berkata pentadbiran PH, pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad
mengabaikan kedaulatan undang-undang dan salah tafisr perlembagaan.
“Pendakwaan ini bertujuan mencipta sebuah lagi rasa selamat
palsu kerana kerugian politik yang dibawa rejim (Dr) Mahathir sendiri
disebabkan kegagalannya dalam isu-isu semasa; mengabaikan kedaulatan
undang-undang; dan salah tafsir Perlembagaan yang disengajakan.
“Ia tidak lebih daripada kelangsungan perbicaraan oleh media
dan tindak balas politik oleh rejim (Dr) Mahathir,” katanya dalam suatu
kenyataan yang dikeluarkan sebuah syarikat perhubungan awam di Sydney,
Australia bagi pihaknya.
Low sekali lagi mengulangi pendiriannya yang beliau tidak
bersalah pada semua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
“Cukup jelas yang Low tidak boleh mendapat perbicaraan adil
di Malaysia, di mana rejim berulang kali membuktikan yang mereka tidak berminat
(menghormati) kedaulatan undang-undang,” kata kenyataan itu lagi.
Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam turut mengeluarkan
waran tangkap terhadap Jho Low, [orang kanannya] Eric Tan Kim Loong, Tang Keng
Chee, Geh Chong Heng, yang ketiga-tiganya merupakan pegawai 1MDB dan seorang
wanita, Loo Ai Swan, bekas peguam 1MDB.
Semalam, mahkamah membuat pendakwaan tanpa kehadiran (in
absentia) terhadap lima individu itu manakala Jho Low berdepan lima pendakwaan
pengubahan wang haram berjumlah AS$1.03 bilion.
Untuk rekod, Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan berkata,
beliau tidak kisah jika AS terlebih dahulu dapat menangkap Jho Low kerana
Malaysia tetap akan mendapat akses kepadanya.
Perdana Menteri juga turut memberitahu bahawa kerajaan tidak
akan membantu usaha peribadi sepupu Najib, Hishammuddin Hussein yang menawarkan
untuk mencari Jho Low di China bagi menyelesaikan kemelut skandal 1MDB. - Malaysiastylonews


