IPOH - Bapa pelumba Cub Prix, Mohd. Hafiz Nor Azman, 22, yang meninggal dunia dalam kemalangan pada pusingan akhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2018 di Dataran Bandar Penawar di Johor semalam, terkilan apabila hajat anaknya itu untuk membawa dia dan isteri mengerjakan umrah bersama tidak kesampaian.
Loading...
Nor Azman Mad Darus, 54, berkata, anaknya itu menyimpan duit kemenangannya semasa menyertai perlumbaan untuk membawa mereka sekeluarga mengerjakan ibadah tersebut.
"Dia menyimpan duit kemenangan untuk bawa saya, emak dan kakaknya ke umrah. Saya beritahu dia supaya pergi dahulu dan ada rezeki kami pergi kemudian tetapi dia tetap cakap mahu bawa kami bersama.
"Perkara ini yang menyebabkan saya terkilan sangat. Emaknya pun sampai sekarang bersedih dan tidak boleh terima anak kami telah tiada. Dia memang rapat dengan isteri saya dan malam sebelum perlumbaan pun mereka tidur bersama," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Serdang Permai, Simpang Pulai di sini hari ini.
Jenazah Mohd. Hafiz yang dibawa dari Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, Johor itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Serdang Permai di sini hari ini. - Bernama


