“Kemasukan Ahli Parlimen UMNO ke dalam Bersatu adalah bagus
kerana ia akan menjadikan Pakatan Harapan sebuah kerajaan yang lebih Melayu
berbanding sebelumnya.”
“Sekurang-kurangnya dengan semakin ramai Ahli Parlimen UMNO
beralih kepada Bersatu, kuasa DAP dapat diimbangi dalam Pakatan Harapan.”
Loading...
“Janganlah gelabah,
dengan kemasukan Ahli-Ahli Parlimen UMNO itu, Tun Mahathir Mohamad hanya
bertujuan memperolehi majoriti dua pertiga dalam Parlimen supaya pindaan
undang-undang ke arah kebaikan rakyat dapat dilaksanakan”.
“Kita kena percaya kepada Tun Mahathir, beliau tahu apa yang
dibuatnya dan tentu untuk kebaikan negara”.
Di atas adalah hujah-hujah yang biasa kedengaran
kebelakangan ini sejak seorang demi seorang Ahli Parlimen UMNO bertindak
meninggalkan parti itu dan sebahagiannya telah pun diterima sebagai ahli
Bersatu.
Sekali pandang, memang ternampak murni semua hujah-hujah
tersebut, tetapi apakah benar setakat itu saja kewajaran dalam membawa masuk
Ahli-Ahli Parlimen UMNO menyertai Bersatu?
Benarkah juga semua hujah itu begitu penting dalam perkiraan
serta pemikiran Tun Mahathir?
Apa yang dibimbangi, di sebalik semua hujah yang nampak
murni itu, selain untuk mengukuhkan lagi kedudukan Perdana Menteri, ia mungkin
terjajar kepada tujuan serta maksud untuk menidakkan berlakunya peralihan kuasa
daripada Tun Mahathir kepada Anwar Ibrahim sebagaimana yang telah dijanji dan
dipersetujui sebelum Pakatan Harapan menang PRU14 yang lalu.
Tambahan lagi, dalam banyak keadaan, meskipun Tun Mahathir
selalu mengatakan beliau akan menepati janji berhubung peralihan kuasa itu,
kerapkali juga kata-katanya agak tergantung, "saya mungkin jadi Perdana
Menteri kurang daripada dua tahun dan mungkin juga lebih dua tahun."
Tidak pernah sama sekali Tun Mahathir berkata, "cukup-cukup
dua tahun nanti saya akan serahkan jawatan Perdana Menteri ini kepada
Anwar."
Dalam konteks peralihan kuasa kepada Anwar, semua sedia
maklum jika beliau menjadi Perdana Menteri nanti, orang yang bakal menjadi
timbalannya, baik dari segi kelayakan, pengalaman dan kekananan ialah Muhyiddin
Yassin, Presiden Bersatu sekarang.
Tidak ada pemimpin lain dalam Pakatan Harapan yang lebih
sesuai digandingkan dengan Anwar selain daripada Muhyiddin.
Dalam waktu yang sama, sementara ada persetujuan mengenai
peralihan kuasa kepada Anwar, kecenderungan Tun Mahathir terhadap Azmin Ali,
Timbalan Presiden PKR terlihat sungguh nyata sejak awal lagi.
Beliau yang sudah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar
Selangor selepas PRU14 lalu dan tidak disenaraikan oleh PKR sebagai calon
menteri, telah dipilih oleh Tun Mahathir untuk menjadi Menteri Hal Ehwal
Ekomoni dalam kabinetnya.
Dengan jawatan tersebut, Azmin bukan saja menjadi antara
menteri yang menguasai kementerian paling kanan dalam kerajaan, bahkan
seterusnya dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Khazanah, badan pelaburan utama
kerajaan bersama Tun Mahathir selaku Pengerusinya.
Dengan yang demikian, ia menyebabkan berlegar cakap-cakap
dan andaian bahawa Tun Mahathir lebih cenderung mahukan Azmin sebagai
penggantinya berbanding Anwar.
Cakap-cakap dan andaian itu mungkin segera berkubur jika Tun
Mahathir berani bertegas menyatakan "cukup dua tahun saya akan berundur
dan menyerahkan jawatan itu kepada Anwar."
Namun, ia tidak pernah sesekali dilakukan Tun Mahathir,
malah di sebalik ayat "mungkin kurang dua tahun dan mungkin lebih dua
tahun" menjadi Perdana Menteri, beliau ternampak cuba mengukuhkan
kedudukannya melalui sokongan Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang melompat parti.
Kalaulah berlaku sekali lagi episod Anwar diketepikan
sebagai pengganti Perdana Menteri di mana kali pertama terjadi ketika dalam
UMNO dahulu, yang akan turut "terbunuh" bersamanya tentu saja ialah
Muhyidin.
"Membunuh" karier politik Anwar, tidak dapat
tidak, akan menyebabkan Muhyiddin "terbunuh" sama masa depannya.
Muhyiddin bukan saja tidak ternampak ada kecenderungan dalam
hati Tun Mahathir untuk diletakkan sebagai penggantinya, bahkan jika Azmin yang
menjadi Perdana Menteri, tidak mungkin beliau akan melantik Presiden Bersatu
itu sebagai timbalannya.
Siapa pilihan Azmin sebagai timbalannya jika beliau menjadi
Perdana Menteri?
Sukarkah menjangkanya?
*Shahbudin Husin adalah penulis buku kritik politik
terkenal. Tulisan adalah pendapat peribadi beliau yang tidak semestinya
mewakili pendirian kami.


