Beliau berkata, pihaknya kini giat mengadakan perjumpaan dengan pelbagai pihak termasuk pemimpin masyarakat, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan lain untuk mendapatkan maklumat serta input berkaitan sebelum draf itu dibentangkan.
Langkah tersebut bagi membolehkan pelaksanaan kaedah baharu itu nanti tidak menimbulkan polemik, adil dan mengambil kira semua aspek kebajikan peminjam.

"Kajian untuk pelaksanaan skim baru sedang berjalan dan saya telah pergi ke Kedah, Perlis, Perak dan hari ini di Terengganu untuk berjumpa semua pihak berkepentingan di peringkat akar umbi untuk mendapatkan informasi.
"Kami akan dengar semua pandangan yang diberikan dan apakah aspek penambahbaikan (skim bayaran balik) yang akan dilaksanakan nanti bergantung kepada input yang kita dapat dan paling awal enam bulan untuk disiapkan," katanya pada sidang media selepas Program Penyampaian
Bantuan Persekolahan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kepada 1,000 pelajar sekolah Terengganu di Universiti Teknologi Mara Kampus Dungun di sini, hari ini. - Bernama