Perdana Menteri merangkap Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad - Foto oleh TMI
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bakal
mengadakan perhimpunan agung kali kedua hujung minggu ini, dilihat mampu
menjadi sebuah parti lebih dominan untuk mewakili kaum Melayu dan Bumiputera
pada masa hadapan.
Ketua Penerangan Bersatu Dr Mohd Radzi Md Jidin yakin
Bersatu akan menjadi pilihan utama berbanding Umno dan PAS dalam memperjuangkan
hak istimewa kaum Melayu dan bumiputera seperti yang termaktub dalam
Perlembagaan Persekutuan tanpa mengetepikan hak kaum lain di negara ini.
Loading...
"Orang Melayu akan melihat kami sebagai parti yang
dapat terus membantu mereka… orang Melayu melihat Bersatu sebagai alternatif
yang ada buat mereka. Dinamik politik semasa menunjukkan ramai orang Melayu
kini bersedia untuk bersama dengan Bersatu," katanya.
Dalam temu bual bersama media menjelang perhimpunan agung
itu, Mohd Radzi berkata ini berlaku kerana ramai yang menganggap Umno tidak
lagi mampu memainkan peranan tersebut.
Malah, katanya, Bersatu menjadi tumpuan kerana ia bersama Pakatan
Harapan dalam memperjuang prinsip menentang amalan rasuah di samping menekankan
aspek tadbir urus yang baik untuk membawa Malaysia menjadi negara berjaya.
Mohd Radzi berkata prinsip seumpama itu diabaikan kerajaan
terdahulu yang sekali gus terpalit dengan pelbagai skandal termasuk melibatkan
institusi orang Melayu sehingga menghakis kepercayaan mereka terhadap kerajaan
itu.
"Bersatu akan jauh lebih baik daripada Umno. Ia bukan
untuk menggantikan (Umno), kami akan lakukan jauh lebih baik daripada
mereka," katanya.
Perhimpunan agung yang pertama Bersatu selepas PH menerajui
kepimpinan negara bakal dihadiri kira-kira 3,000 perwakilan daripada semua
peringkat, melibatkan 135 bahagian di seluruh negara dengan 98 bahagian sayap
Srikandi dan 115 sayap Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Perhimpunan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya itu
akan dimulakan dengan perasmian sayap Srikandi dan Angkatan Bersatu Anak Muda
(Armada) pada sebelah malam 28 Dis sebelum perhimpunan kedua-dua sayap
berkenaan pada keesokannya.
Perdana Menteri merangkap Pengerusi Bersatu Dr Mahathir
Mohamad dijadual merasmikan Perhimpunan Agung Bersatu pada sebelah malam 29
Disember.
Dalam pada itu, Mohd Radzi berkata isu 'lompat parti' selain
agenda pembangunan Bumiputera dijangka mendapat perhatian perwakilan pada
perhimpunan agung itu.
Beliau berkata perwakilan diberi kebebasan untuk membahaskan
isu berkenaan susulan dinamik politik semasa yang menyaksikan bekas anggota dan
pemimpin Umno mahu menyertai Bersatu.
"Kita serahkan kepada jurucakap (perwakilan) untuk
berbahas dan tidak dapat tidak, ia (isu lompat parti) akan disentuh," kata
Mohd Radzi.
Beliau bagaimanapun mahu perbahasan mengenai perkara itu
dibuat dengan rasional dengan jurucakap perlu memikirkan setiap sudut termasuk
agenda pengembangan parti.
Mohd Radzi turut menegaskan permohonan penyertaan bekas
anggota UMNO akan dikaji secara mendalam oleh Bersatu sebelum diluluskan demi
menjamin integriti dan imej parti.
- Bernama


