JOHOR BAHRU — Seorang kanak-kanak lelaki berusia
lima tahun meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail, dekat sini, tengah malam
kelmarin dipercayai akibat didera ayah kandung dan ibu tirinya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Supt Mohd
Afzanizam Yahaya berkata pihaknya menerima laporan mengenai kematian
kanak-kanak itu daripada pihak hospital pada 12.50 tengah malam.
Loading...
Mangsa dihantar ke hospital berkenaan dalam keadaan tidak
sedarkan diri dan terdapat kesan lebam serta bengkak pada bahagian kanan muka,
dada, perut dan kedua-dua betis.
“Setelah pemeriksaan dijalankan, doktor telah mengesahkan
bahawa kanak-kanak itu telah meninggal dunia.
“Doktor telah menjalankan bedah siasat ke atas mayat
kanak-kanak lelaki tersebut dan punca kematian adalah trauma tumpul pada
abdomen,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.
Mohd Afzanizam berkata susulan itu, pihaknya menahan bapa
mangsa berusia 33 tahun yang bekerja sebagai tukang masak dan ibu tirinya
seorang warga Indonesia berusia 23 tahun dan
tidak bekerja, untuk siasatan lanjut.
“Kedua-dua suspek ditahan di rumah mereka di Taman Sentosa
pada 11 pagi tadi. Mereka akan direman
esok pagi,” katanya menambah kes disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat
mengenai kes itu agar menghubungi talian
Hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2218999 atau Pegawai Penyiasat P/Asp Fazly
Ishak di talian 017-3090385. — Bernama


