Foto oleh TMI
Bermula Mac depan, Umno akan membuka pusat latihannya di
Janda Baik sebagai pusat penginapan komersil dalam usaha mengurangkan kos
operasi dan meningkatkan pendapatan parti.
Menurut The Malaysian Insight, Umno memutuskan untuk membuka
Institut Latihan Memperkasa Ummah (Ilmu) kepada orang awam, pertubuhan atau
syarikat baik untuk bercuti atau aktiviti membina semangat dan mengukuhkan
pasukan.
Loading...
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Putrade Property Management
Sdn Bhd, Shamsul Kamar Ahmad berkata, tempat itu selepas ini mungkin dikenali
sebagai Ilmu Resort.
“Kami baru ambil alih, mungkin pengubahsuaian semula ambil
masa beberapa bulan sebelum boleh dibuka kepada umum. Kita jangkakan siap pada
Mac nanti,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
Kawasan itu sebelum ini dijadikan pusat pengkaderan dan
latihan perang saraf Umno serta program tertutup berkaitan dengan parti. Ia
hanya digunakan eksklusif untuk Umno, tidak pernah dibuka kepada orang luar.
Menurut laporan itu, kali terakhir program dijalankan di
Ilmu pada Oktober lalu.
Katanya lagi, selama ini, ilmu diselia oleh Umno dan
diserahkan kepada Putrade, syarikat yang turut menguruskan Pusat Dagangan Dunia
Putra (PWTC) dan Menara Dato Onn yang menempatkan ibu pejabat parti.
Jelasnya, selepas pengubahsuaian dilakukan, Putrade akan
menanggung sepenuhnya kos operasi pusat tersebut daripada hasil yang dijana
melalui aktiviti komersial.
“Selama ini Umno menguruskan sendiri Ilmu. Sekarang Putrade
ambil alih untuk diuruskan secara komersial. Cadangan untuk dijadikan resort
dan pusat latihan sesuai untuk diadakan mesyuarat, persidangan, hari keluarga
dan juga pusat latihan.
“Di sini sesuai kerana ada pelbagai jenis bilik seperti
rumah tiga bilik, bilik-bilik dan bilik asrama. Budak sekolah atau pelajar
universiti juga boleh datang untuk ambil bahagian dalam aktiviti seperti bina
semangat,” beliau dilaporkan sebagai berkata. - Malaysiakini


