KLANG — Kementerian Sumber Manusia mendapati tiada
unsur paksaan ke atas pekerja asing di syarikat pembuat sarung tangan getah
terbesar dunia, Top Glove Corp Berhad untuk melakukan kerja lebih masa.
Menterinya M. Kulasegaran berkata pemeriksaan pegawainya di
hampir kesemua kilang milik syarikat itu
di sini dan di Ipoh, Perak mendapati pekerja asing mereka melakukan
kerja lebih masa secara sukarela kerana mahu meraih pendapatan lebih untuk
digunakan dan dihantar ke negara masing-masing.
Loading...
“Saya tidak nafikan ada pekerja asing yang bekerja lebih
daripada masa yang ditetapkan oleh Akta Pekerja dan kami akan mengambil
tindakan atas perkara ini.
“Pengurusan Top Glove juga sudah memberi komitmen untuk
mengatasi perkara ini tetapi saya jamin tiada pekerja asing yang dipaksa
bekerja lebih masa di kilang ini seperti yang dilaporkan,” katanya dalam sidang
akhbar selepas melakukan lawatan ke kilang milik Top Glove di Kawasan
Perindustrian Meru Timur di sini, semalam.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung
Malaysia (JTKSM) Datuk Mohd Jeffrey Joakim, Pengerusi Eksekutif Top Glove Tan
Sri Dr Lim Wee Chai dan Pengarah Eksekutif syarikat Lim Cheong Guan.
Lawatan dan pemeriksaan itu diadakan susulan laporan oleh
sebuah akhbar luar negara yang mendakwa Top Glove memaksa pekerja asing di
syarikat tersebut untuk bekerja lebih masa.
Menurut Kulasegaran, siasatan oleh pegawai kementerian itu
sejak laporan berkenaan dikeluarkan juga mendapati segala dakwaan lain yang
ditulis dalam akhbar terbabit adalah tidak benar.
“Syarikat ini melakukan semua operasi mereka mengikut akta
dan peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Pada Jumaat lepas, akhbar The Guardian di United Kingdom
dalam laporannya mendakwa syarikat itu menindas ribuan pekerja asing termasuk
memaksa mereka bekerja lebih masa mencecah 160 jam sebulan, melebihi tempoh
bekerja lebih masa 104 jam yang ditetapkan undang-undang.
Menurut Akta Pekerja 1955 jumlah jam untuk kerja lebih masa
maksimum ialah 104 jam sebulan.
Terdapat kira-kira 10,000 pekerja asing di 35 buah kilang milik Top Glove.
Menurut laporan itu antara situasi dihadapi pekerja asing
berkenaan ialah menjadi mangsa buruh paksa, kerja lebih masa secara paksa,
beban hutang, gaji ditahan dan pasport dirampas.
Susulan laporan berkenaan, saham Top Glove menjunam pada
dagangan awal hari ini, susut 5.93 peratus atau 33 sen kepada RM5.57 dengan 1.2
juta saham bertukar tangan.
Sementara itu ditanya sama ada kerajaan Britain menghubungi
pihaknya bagi tujuan siasatan berhubung perkara berkenaan, Kulasegaran berkata
setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang panggilan atau pertanyaan rasmi
daripada pihak berkuasa negara tersebut.
“Kami alu-alukan siasatan oleh kerajaan Britain jika mereka
mahu menyiasat perkara ini tetapi ia perlu dilakukan secara kerajaan dengan
kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Wee Chai dalam sidang media sama turut
memberi pencerahan berhubung beberapa kesilapan fakta dalam laporan akhbar
berkenaan.
“Laporan menyebut keuntungan kami ialah satu bilion pound
sterling (RM5.29 bilion) tahun lepas, tetapi keuntungan kami sebenarnya
kira-kira RM450 juta atau sekitar 80 juta pound sterling dan United Kingdom
hanya menyumbang 0.5 peratus terhadap jualan kami,” katanya.
Sambil meluahkan rasa kesal terhadap laporan berkenaan yang
disifatkan tidak bertanggungjawab, beliau menyatakan kesediaan pihaknya untuk
bekerjasama dengan mana-mana pihak dari dalam dan luar negara yang mahu
melakukan siasatan ke atas syarikat itu. — Bernama


