KOTA KINABALU - UMNO Sabah lumpuh selepas hampir kesemua
anggota jawatankuasa badan perhubungan negeri itu termasuk Pengerusinya, Datuk
Seri Hajiji Mohd Noor mengumumkan keluar parti hari ini.
Dalam sidang akhbar di sini, Hajiji yang juga Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, berkata semua ketua bahagian kecuali Tenom,
Kalabakan, Sepanggar dan Kinabatangan turut mengumumkan keluar parti.
Loading...
Tindakan keluar parti yang berkuat kuasa hari ini melibatkan
lima ahli Parlimen, sembilan ADUN dan dua senator, kata Hajiji yang juga Ketua
UMNO Tuaran.
Lima ahli Parlimen itu ialah Datuk Seri Ronald Kiandee
(Beluran), Yamani Hafez Musa (Sipitang), Datuk Azizah Mohd. Dun (Beaufort),
Datuk Zakaria Edris (Libaran) dan Datuk Rahim Bakri (Kudat), katanya.
Menurut Hajiji selain beliau, lapan lagi ADUN ialah Datuk
Seri Masidi Manjun (Karanaan), Datuk Japlin Akim (Usukan), Datuk Musbah
Jameh(Tempasuk), Datuk Gulam Haidar Khan (Kawang), Datuk Mohd Arifin Arif
(Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Matbali Musah (Lumadan) dan Datuk
Nizam Titingan (Apas).
Katanya, buat masa ini kesemua wakil rakyat terbabit akan
menjadi wakil Bebas.
Menurut Hajiji, dua senator UMNO yang keluar parti ialah
Datuk Ghani Yassin dan Datuk John Ambrose.
Turut mengumumkan keluar parti ialah bekas Bendahari UMNO
yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said
Keruak yang merupakan Ketua Bahagian Kota Belud.
UMNO bahagian yang kehilangan ketuanya termasuk yang
memangku ialah Kudat, Kota Marudu, Tuaran, Kota Kinabalu, Penampang, Papar,
Kimanis (memangku), Beaufort, Sipitang, Keningau, Beluran, Sandakan, Batu Sapi,
Silam, Semporna, Tawau, Libaran, Putatan dan Ranau.
Menurut Hajiji baki empat lagi bahagian iaitu Tenom,
Kalabakan, Sepanggar dan Kinabatangan belum menyatakan pendirian mereka.
Tindakan keluar parti itu turut melibatkan ketua Puteri
semua UMNO bahagian sementara Ketua
Wanita UMNO Sabah Datuk Jainab Ahmad berkata pemimpin sayap tersebut belum
membuat keputusan.
Dalam satu kenyataan di sini, Jainab berkata, Wanita UMNO
memerlukan tempoh bertenang sebelum tindakan seterusnya diambil, termasuk memberi penerangan kepada pemimpin Wanita
peringkat bahagian. - Bernama


