Foto Astro Awani
KUALA LUMPUR ― Perhimpunan agung tahunan kedua Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bermula hari ini akan memberikan
tumpuan kepada usaha membangunkan negara dan membentuk masa depan Malaysia
baharu yang lebih gemilang.
Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata selepas
menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),
bersama rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH), parti itu perlu memainkan
peranan dalam mendukung hasrat kerajaan melaksanakan semua agenda, manifesto,
cadangan perubahan dan pentadbiran termasuk di peringkat Parlimen, menggubal
undang-undang baharu dan memansuhkan undang-undang lama.
Loading...
“Kita kini adalah gerakan politik baharu, haluan baharu.
Kita bentuk masa depan negara baharu, ini yang kita tumpukan. Apabila hala tuju
sebegitu rupa dan jelas, maka rakyat tahu kita boleh buat (memerintah),”
katanya dalam temu bual dengan beberapa organisasi media baru-baru ini.
Temu bual itu diadakan bersempena perhimpunan agung kali
kedua parti itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula malam
ini hingga Ahad.
Kira-kira 3,000 perwakilan dijangka menghadiri perhimpunan
agung tiga hari itu melibatkan 135 bahagian di seluruh negara, termasuk 98
bahagian sayap Srikandi dan 115 sayap Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Perhimpunan itu bermula malam ini dengan perasmian
perhimpunan sayap Srikandi dan Armada yang akan disempurnakan oleh Muhyiddin,
manakala esok akan berlangsung perhimpunan kedua-dua sayap. Malam esok, Perdana
Menteri yang juga Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad akan merasmikan
perhimpunan agung itu, dengan perhimpunan berlangsung pada Ahad.
Muhyiddin berkata paling utama adalah bagaimana parti itu
boleh membantu dalam menangani isu kos sara hidup rakyat.
“Kita peka hal itu, kerana itu kita ingatkan perwakilan
sewaktu perhimpunan agung nanti bahawa mereka ini mesti mewakili rakyat dan
kena bantu rakyat. Jadi isu kenaikan harga barang, kurangnya bantuan subsidi,
penurunan harga komoditi getah, masalah peneroka kerana tiada bantuan Felda dan
isu-isu dihadapi rakyat biasa perlu diperjuangkan agar kepimpinan boleh membawa
mesej tersebut ke peringkat pentadbiran kerajaan,” katanya.
Katanya Bersatu juga perlu memainkan peranan dengan berani membuat
kenyataan dan pandangan terbuka jika ada polisi kerajaan yang dilihat tidak
tepat atau buat ‘pusingan-U’ kerana perubahan yang berlaku ketika ini
memerlukan sokongan dan masa untuk dijayakan sepenuhnya.
Beliau mengakui terdapat beberapa perkara yang tidak
sempurna sepanjang tujuh bulan pentadbiran PH khasnya berkaitan kehendak rakyat
namun percaya, jika diberikan masa secukupnya dan kerjasama semua pihak
termasuk penjawat awam, segala perancangan dapat dilakukan sebaik-baiknya.
“Banyak benda. Skopnya begitu luas. Bukan sesuatu yang mudah
untuk dilakukan, saya telah lama berkhidmat dalam kerajaan. Kita sentiasa
berfikir kita mahu berubah dari cari lama, yang kita rasa tidak baik. Untuk
meletakkannya kembali ke persepktif baharu, kita mesti memastikan penjawat awam
memahami apa yang kita lakukan.
“Anda tidak boleh harapkan dalam tempoh tujuh bulan, untuk
melakukan begitu banyak perkara, tetapi ia boleh (dijayakan). Anda buat apa
yang boleh anda buat dan yang mampu anda lakukan. Terdapat batasan. Tetapi
dalam tempoh masa tertentu, saya tidak kata setahun atau beberapa tahun, kami
diberi tempoh lima tahun, sudah pasti banyak perkara dapat diperbaiki,”
katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata parti itu lebih terbuka dan
sesiapa sahaja yang berminat boleh menyertai mereka dengan syarat, perlembagaan
parti diutamakan dan sanggup berjuang demi negara.
Jelasnya, Bersatu juga mengamalkan sikap telus dalam
menentang musuh negara, khasnya rasuah hingga ke hujung pangkal.
Sambil menafikan cakap-cakap perjuangan parti itu mirip
kepada perjuangan Umno kerana Bersatu diterajui ramai pemimpin daripada parti
berkenaan, Muhyiddin berkata rakyat pasti dapat menilai sendiri bahawa Bersatu
dan komponen lain dalam PH sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan rakyat
daripada kehendak parti.
Ditanya mengenai stigma masyarakat kononnya bekas pemimpin
Umno cuba menyelamatkan diri daripada kes rasuah dengan menyertai Bersatu,
Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Bersatu bukanlah rumah
perlindungan dan sesiapa yang didapati bersalah, tidak akan selamat.
Jelasnya, ini kerana, parti tersebut tidak akan sesekali
melindungi mana-mana anggota atau pemimpin baik dari dalam atau luar parti
sendiri.
“Ini bukan (tempat) pelarian, tempat mereka untuk bernaung
atau berlindung kalau mereka sudah tahu lakukan kesalahan. Kami sudah jelaskan,
kalau mereka ingin masuk, kena isytihar diri keluar dari parti asal dan jadi
anggota bebas, kemudian menjalani saringan pihak berkuasa dan juga saringan
politik.
“Jika tidak sesuai dengan perjuangan, kita ada hak untuk
tolak. Sebab itu kita buat bersungguh-sungguh (dalam penerimaan). Jika mereka
sudah isytihar sekalipun, tidak semestinya diterima masuk. Jika terpalit
sekalipun, kita rasa tidak payahlah
(setuju dengan permohonan masuk), baik kita cari yang tiada kesalahan,”
katanya.
Muhyiddin menarik perhatian, isu lompat parti dan penerimaan
bekas pemimpin pembangkang ini harus dilihat daripada konteks yang besar kerana
kelak ia akan mewujudkan persaingan positif demi menambah kekuatan PH. ―
Bernama


