KOTA BARU — PAS tiada masalah sekiranya P
Waythamoorthy digantikan dengan pemimpin India yang lain asalkan dapat
menjalankan kewajipan dengan sebaik mungkin.
Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata desakan
parti itu agar Waythamoorthy meletakkan jawatan sebagai Menteri di Jabatan
Menteri bukan bersikap perkauman namun kerana kegagalan beliau menjalankan
tugas dengan berkesan.
Loading...
“Kita desak beliau letak jawatan bukan sebab beliau pemimpin
(berbangsa) India tapi kerana kegagalan dia (menjalankan tugas). Kalau kaum
lain pegang dan gagal berfungsi untuk mewujudkan perpaduan (dalam negara) kita
juga akan minta pemimpin berkenaan letak jawatan.
“Kita bukan rasis dan pada masa yang sama, kalau ada pihak
yang membangkitkan isu perkauman kita juga tak setuju. Ini soal kegagalan
sebagai menteri perpaduan sebab itu dalam kenyataan kita sebelum ini beliau
perlu letak jawatan dan kalau digantikan dengan pemimpin India lain pun kita
tak ada masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi
bekas penjaga gol kebangsaan, Awang Essa, 72, yang terlantar sakit kerana
masalah tulang belakang sejak awal tahun ini di kediamannya di Jalan Raja Dewa
Hilir di sini, hari ini.
Takiyuddin berkata justeru itu PAS berpendapat Perdana
Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu menilai kembali prestasi Waythamoorthy
dalam hal tersebut agar ia tidak menjadi 'barah' dalam masyarakat.
“Waythamoorthy tidak dapat merangka (pelan) perpaduan
sebenar untuk memastikan perpaduan dapat dicapai. Saya kira Tun Dr Mahathir
perlu beri penilaian secukupnya dan lebih 300,000 rakyat (yang menandatangani
petisyen) kata dia dah gagal. Ini bukan soal perkauman lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Takiyuddin yang juga Presiden Persatuan Bola
Sepak Melayu Malaysia (PPBSM) memohon agar Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq
Syed Abdul Rahman untuk melihat aspek kebajikan terhadap bekas pemain terutama
yang kini sedang terlantar sakit.
Beliau berkata Syed Saddiq perlu memberi tumpuan terhadap
Yayasan Kebajikan Atlet Malaysia (YAKEB) yang kini tidak lagi mampu berperanan
menjaga kebajikan bekas atlet berikutan tidak mempunyai dana yang mencukupi.
“Saya minta kerajaan hari ini terutamanya Menteri Belia dan
Sukan dapat melihat kembali aspek kebajikan kepada bekas atlet negara kerana
mereka ini kebanyakannya dalam keadaan tidak terbela sehingga ada yang menjadi
gelandangan.
“Saya kira kerajaan negeri pun ada bagi sedikit peruntukan
untuk kebajikan bekas atlet jadi kita harap perkara ini mendapat perhatian
daripada Syed Saddiq,” katanya. — Bernama


