PUTRAJAYA, 3 Dis — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
mengingatkan pemerintah dan anggota pentadbiran bahawa kuasa diberi untuk
mereka melaksanakan tugas, bukan untuk kepentingan diri sendiri.
Berucap pada perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan
Perdana Menteri, di sini hari ini, beliau berkata jika kuasa disalahgunakan,
negara tidak akan maju dan menyebabkan kemerosotan dalam kalangan masyarakat.
“Kalau kita sedar atau berasa was-was bahawa kuasa itu
mungkin akan menyebabkan sesuatu tidak baik bagi negara kita adalah lebih baik
kita tidak laksanakan kuasa itu dan lebih baik kita runding dan mendapat
nasihat tentang bagaimana kuasa itu hendak dilaksanakan,” katanya.
Perdana Menteri mahu anggota pentadbiran faham dan jelas
bahawa maksud kerajaan ditubuhkan adalah untuk menentukan negara menjadi lebih
maju.
Dr Mahathir berkata, walaupun pada permulaannya nikmat tidak
dapat dilihat namun apabila sebuah negara yang aman dan maju berjaya
ditubuhkan, hasilnya akan dinikmati oleh seluruh rakyat termasuk anggota
pentadbiran.
Beliau menegaskan Malaysia perlu aman dan damai agar
kekayaan negara dapat diagihkan secara sama rata bagi mengurangkan jurang
antara kawasan bandar dan luar bandar.
Menurutnya, ia boleh dicapai kalau negara ditadbir dengan
baik, tanpa rasuah dan acara yang disengajakan bagi mencetus huru-hara dan
permusuhan kaum.
“Apabila kita menghadapi masalah rusuhan dan sebagainya,
hendaklah kita tangani perkara ini dengan cara bijak sebagai satu pemerintah
yang berprihatin dan berpengalaman serta faham tujuan pemerintahan,” katanya.
Menurut Dr Mahathir,
kerajaan mahu melihat seluruh penduduk Malaysia menikmati kekayaan dan
kemerdekaan serta pemerintahan negara yang prihatin.
“Bukan niat kita untuk menghalang perkembangan dan kekayaan
bandar tetapi kalau jarak antara yang kaya dan miskin terlalu jauh, maka akan
timbul perasaan iri hati dan benci.
“Disebabkan itu, negara akan menghadapi permusuhan antara
bandar dan luar bandar, antara miskin dan kaya bahkan antara satu kaum dan kaum
lain,” katanya.
Justeru, Dr Mahathir berkata beliau yakin semua warga
Jabatan Perdana Menteri bukan hanya faham cara bekerja tetapi juga berhubung
keperluan negara. — Bernama


