BANGKOK - Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tiba di
sini tengah hari ini bagi menerima ijazah kedoktoran kehormat dalam bidang
kepimpinan masyarakat, perniagaan dan politik daripada Universiti Rangsit (RSU)
esok.
Pesawat khas kerajaan yang membawa Mahathir dan isteri Tun
Dr. Siti Hasmah Mohd Ali tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Thailand Don
Mueang pada pukul 3.30 petang.
Loading...
Ketibaan mereka disambut Menteri Luar, Datuk Saifuddin
Abdullah serta Menteri Pendidikan Thailand, Teerakiat Jareonsettasin, dan Duta
Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel selain pegawai kanan kedua-dua
negara.
Malam ini Perdana Menteri dijadualkan dirai dalam jamuan
malam oleh Presiden RSU, Dr. Arthit Qurairat.
Mahathir dijadualkan ke kampus utama RSU di daerah Mueang
Pathum Thani, kira-kira 30 kilometer dari sini, pagi esok bagi menghadiri
upacara penganugerahan itu.
Ini merupakan anugerah kehormat kedua Dr Mahathir daripada
institusi Thailand untuk tahun ini.
Pemimpin berusia 93 tahun itu merupakan individu ketiga
menerima penghormatan daripada institusi pengajian tinggi terbaik Thailand
berkenaan selepas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe yang menerima anugerah
serupa pada 2016 dan Raja Bhutan, Jigme Khesar Namgyel Wangchuck pada 2009
(ketika itu baginda merupakan Putera Mahkota). - Bernama


