Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
GEORGE TOWN — Setiausaha agung PKR Datuk Seri
Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan penyertaan anggota parlimen pembangkang
dalam Pakatan Harapan (PH) boleh menjadi nilai tambah kepada usaha mengukuhkan
kerajaan sedia ada.
Beliau, yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan hal
ehwal pengguna, berkata situasi itu sekali gus boleh menyumbang kepada
penguasaan dua pertiga majoriti oleh Pakatan Harapan dalam Parlimen.
Loading...
"Kalau perkara ini [penyertaan anggota parlimen
pembangkang dalam PH] dilihat dalam konteks itu, saya fikir ada nilai tambah
sebab sebuah kerajaan memerlukan kekuatan dua pertiga untuk memulakan apa-apa
perubahan yang sebelum ini menjadi kekangan atau halangan.
"Hal ini juga bersabit dengan dasar-dasar yang kita nak
laksanakan bagi keuntungan rakyat.
“Kalau kemasukan ini mampu menyumbang ke arah itu dalam
konteks mengukuhkan kuasa dua pertiga PH saya kira ia ada 'point' nilai
tambah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program tanggungjawab
sosial korporat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai
tindakan sekumpulan pemimpin Umno yang bertindak keluar parti.
Bagaimanapun, Saifuddin Nasution berkata anggota parlimen
pembangkang tidak boleh sewenang-wenangnya menjadi anggota dalam mana-mana
parti komponen PH, sebaliknya mereka perlu ditapis melalui beberapa ketetapan
yang telah dipersetujui oleh majlis presiden PH.
Beliau berkata penyertaan mereka ke dalam mana-mana parti
komponen PH akan diteliti mengikut kes.
"Kalau ada dalam kalangan mereka setelah
mengisytiharkan keluar daripada parti lama, kemudiannya telah melalui satu
tempoh masa dan seterusnya membuat permohonan (menyertai mana-mana parti dalam
PH), permohonan mereka akan diuruskan secara 'case by case'.
“Ini termasuk pertimbangan yang akan diambil kira sama ada
pemohon itu ada menghadapi 'tainted'. Kita buat begitu supaya kalau ada
permohonan masuk itu ia tidak membawa sama punca yang menjadi kemarahan
rakyat," katanya. — Bernama

