KUALA LUMPUR: TUN Dr Mahathir Mohamad dipilih sebagai Muslim
Man of the Year oleh penerbitan The Muslim 500 bagi tahun 2019.
Menerusi edisi 2019 yang dikeluarkan sempena ulangtahun
ke-10 penerbitan itu, Dr Mahathir berada di tangga teratas, mengetuai senarai
500 individu Islam terhebat dunia.
Loading...
Kejayaan beliau memimpin Pakatan Harapan memenangi Pilihan
Raya Umum ke-14, sekali gus bergelar Perdana Menteri kali kedua selepas
pemerintahan cemerlang selama 22 tahun sebelum ini, menjadi ciri istimewa
beliau.
Dr Mahathir disifatkan individu satu dalam sejuta yang
memacu Malaysia sehingga menjadi Harimau Ekonomi bagi Asia Timur pada era
pemerintahan terdahulu, selain mempunyai prinsip kepimpinan yang digeruni kawan
dan lawan.
Turut berada dalam senarai itu ialah Raja Abdullah II dari
Jordan, Presiden Indonesia Joko Widodo dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.
Sementara itu, bagi wanita Islam paling berpengaruh pula,
gelaran Muslim Woman of the Year diberi kepada Ahed Tamimi, 17 tahun, remaja
Palestin yang dikenali kerana keberaniannya menampar tentera Israel pada
Disember 2017.
The 500 Most Influential Muslims adalah penerbitan tahunan
yang pertama kali diterbitkan pada 2009, yang mengiktiraf individu Islam paling
berpengaruh di dunia.
Ia disusun oleh Pusat Pengajian Strategik Diraja Islam yang
berpusat di Amman, Jordan. - Astro Awani


