KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin memberitahu, dapatan tertentu mengenai sebab kematian anggota bomba,
Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim telah ditemukan.
Jelas beliau, penemuan dapatan yang hanya boleh didedahkan
di mahkamah itu merupakan hasil siasatan pihak polis melalui rakaman percakapan
saksi-saksi, lakonan semula (re-enactment) dan juga hasil bedah siasat yang
telah dilakukan oleh pihak forensik patalogi.
Loading...
“Saya telah berbincang dengan Peguam Negara mengenai
perkembangan kes ini. Peguam Negara telah memaklumkan kepada saya bahawa beliau
selaku Pendakwa Raya dalam menjalankan kuasanya di bawah seksyen 339(1) Kanun
Tatacara Jenayah akan mengarahkan Majistret untuk membuat siasatan (inkues) di
bawah Bab XXXII Kanun yang sama bagi menentukan sebab kematian Allahyarham.
“Pihak Pendakwa Raya akan memohon kepada mahkamah supaya
ditetapkan tarikh pendengaran dengan segera dan akan membantu Majistret
berkenaan dalam menjalankan inkues tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin menjelaskan, di dalam prosiding
inkues tersebut, Majistret akan mempunyai kuasa yang luas di bawah seksyen 328
Kanun Tatacara Jenayah yang memberi erti sebab kematian termasuk
mempertimbangkan bagaimana Allahyarham menemui ajalnya.
“Serta sama ada kematiannya disebabkan atau dipercepatkan
oleh apa-apa perbuatan atau ketinggalan yang menyalahi undang-undang yang
dilakukan oleh orang lain,” katanya.- UTUSAN ONLINE


