Foto Malay Mail
Kerajaan memutuskan untuk membekukan kenaikan kadar tol bagi
semua kelas kenderaan di 21 lebuh raya seluruh negara pada mesyuarat kabinet
mingguannya 12 Disember lalu.
Pembekuan itu dianggarkan melibatkan kos bayaran pampasan
berjumlah RM972.75 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya berkenaan bagi tahun
2019.
Loading...
Selain pembekuan kenaikan kadar tol di 21 lebuh raya secara
komprehensif itu, turut dipersetujui, pembekuan kadar tol bagi bas di lapan
lebuh raya berasingan pada tahun sama dan pemansuhan tol motosikal di Jambatan
Pulau Pinang (Jambatan Pertama Pulau Pinang), Jambatan Sultan Abdul Halim
Mu'adzam Shah (Jambatan Kedua Pulau Pinang) dan Lebuhraya Laluan Kedua di Johor
bermula 1 Januari 2019.
Semua itu akan melibatkan kos kerajaan yang dianggarkan
sebanyak RM994.43 juta bagi tahun hadapan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng
dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.
"Perbelanjaan ini adalah untuk memanfaatkan rakyat
Malaysia.
"Pembekuan komprehensif ini adalah berasaskan kepada
tanggungjawab Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan untuk meringankan
beban sara hidup yang dipikul oleh rakyat Malaysia," katanya.
Bagi pembekuan terhadap kenaikan kadar tol untuk kenderaan
Kelas 5 (bas) itu, ia melibatkan anggaran kos RM1.68 juta.
Sementara itu, penghapusan tol bagi penunggang motosikal di
dua jambatan di Pulau Pinang dan Pautan Kedua di Johor dianggar memerlukan
peruntukan RM20 juta setahun daripada kerajaan untuk bayaran pampasan mulai 1
Januari 2019.
Lim menambah, kerajaan sedang mengkaji kaedah terbaik untuk
memenuhi janji manifesto yang terkandung dalam Buku Harapan.
Langkah pembekuan kenaikan tol ini, katanya, adalah
sebahagian daripada usaha tersebut.

