SANDAKAN — Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau Datuk Saddi Abdul Rahman hari ini
mengumumkan menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).
Beliau sebelum ini menjadi ADUN Bebas selepas keluar dari
Umno pada 1 Ogos lepas.
Loading...
Pada sidang media di sini, Saddi berkata borang keahlian
penyertaannya dalam Warisan akan beliau serahkan kepada Presiden Warisan yang
juga Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam masa terdekat.
Katanya beliau sebelum ini telah berjumpa dengan Mohd Shafie
menyatakan keputusan menyertai Warisan dan dia berlapang dada menerima
kemasukan saya menyertai Warisan.
“Tiada syarat untuk saya menyertai Warisan dan saya hanya
mahu fokus kepada pembangunan kawasan DUN Sukau dan kebajikan rakyat.
“Ini kerana jika terus menjadi ADUN Bebas, saya tidak dapat
menunaikan harapan rakyat yang diberikan pada Pilihan Raya Umum yang lepas,”
katanya.
Hadir sama pada sidang media itu adalah Pembantu Menteri
Kepada Ketua Menteri yang juga Ahli Majlis Tertinggi Warisan Arifin Asgali dan
Ketua Bahagian Warisan Kinabatangan Mahmod Tahsan.
Pada PRU14, Saddi mewakili UMNO memenangi kerusi DUN Sukau
dengan majoriti undi 1,628, mengalahkan tiga calon lain dari Warisan, Parti
Harapan Rakyat dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah.
Dalam pada itu, Saddi turut memohon maaf kepada mana-mana
pemimpin terdahulu semasa rejim Barisan Nasional, sekiranya keputusan yang
diambil beliau ini tidak menyenangkan hati ramai pihak.
“Apapun tindakan yang saya ambil tentu ada pro dan
kontranya. Dalam politik, tiada kawan dan lawan yang kekal, yang kekal adalah
perjuangan untuk membela rakyat,” katanya.
Saddi berkata dalam tempoh lima bulan sebagai ADUN Bebas,
beliau telah tertarik dengan visi kewujudan Warisan yang dipimpin oleh Mohd
Shafie yang telah menggariskan dasar perjuangannya yang bermatlamatkan kepada
kepentingan pembelaan seluruh rakyat Sabah tanpa mengira pegangan dan anutan
agama serta suku kaum. — Bernama


