GEORGE TOWN - Kerja-kerja untuk menaikkan kenderaan utiliti
sukan (SUV) yang terhumban ke laut dari Jambatan Pulau Pinang Ahad lepas masih
belum dapat dijalankan setakat pukul 12
tengah hari ini berikutan keadaan arus di dasar laut yang deras.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan
Nik Abdul Hamid hari ini berkata, keadaan arus demikian boleh membahayakan
kumpulan penyelam yang terlibat dalam operasi yang bermula sejak lokasi SUV
jenama Mazda CX-5 itu dijumpai semalam.
Loading...
"Keadaan itu akan membahayakan penyelam untuk mengikat
tali kabel pada kereta itu sebelum boleh diangkat keluar dari laut menggunakan
kren," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di Kilometer 4
jambatan itu.
Sebelum ini Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, ACP
Rosman Ismail berkata, seramai 40 orang penyelam daripada empat agensi
memulakan penyelaman hari ini untuk memasang kabel pada kenderaan yang masih
berada di bawah paras laut itu.
Kereta Mazda CX-5 itu dikatakan telah dipandu oleh Moey Yun
Peng, 20, seorang penuntut kolej swasta di sini yang gagal mengawal kenderaan
itu menyebabkannya terhumban ke laut setelah berlanggar dengan sebuah Toyota
Vios di jambatan berkenaan. - Bernama


