Ramli Mohd Noor
Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK)
Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Noor, menyatakan rasa terima kasih
kepada Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mengiktiraf peranan kerajaan terdahulu
dalam membangunkan masyarakat Orang Asli di Malaysia.
Ramli berkata, perkara itu dinyatakan sendiri perdana
menteri pada sesi dialog di Oxford Union, London, baru-baru ini.
Loading...
“Beliau (Tun Dr Mahathir) telah ditanya mengenai usaha
kerajaan dalam memelihara kebajikan serta pembangunan Orang Asli yang kononnya
tidak diberi layanan sama seperti golongan lain.
“Dalam reaksinya, Tun Dr Mahathir sendiri telah menyatakan
bahawa Orang Asli di Malaysia diberi peluang dalam arus pembangunan negara
sehinggakan ada dalam kalangan Orang Asli dilantik menjadi Senator di Dewan
Negara.
“Begitulah luas peluang yang diberi sehinggakan beliau turut
menyebut ada Orang Asli yang telah menjadi seorang Penolong Penguasa Polis
(ACP), yang saya percaya ia merujuk kepada pencapaian saya,” katanya dalam
entri terbaru Facebooknya hari ini.
Ramli berkata, Dr Mahathir juga ada menyebut tentang Orang
Asli yang berpeluang melanjutkan pelajaran hingga ke luar negara.
Katanya, kenyataan itu secara tidak langsung jelas
membuktikan serta mengiktiraf BN dalam membangun dan meningkatkan taraf hidup
Orang Asli selama lebih 60 tahun ia menguasai kepemimpinan negara ini.
“Terima kasih Dr Mahathir kerana menzahirkan pengiktirafan
ini, apatah lagi pada acara penuh berprestij di Oxford Union.
“Untuk lebih menguatkan lagi pengiktirafan ini maka, undilah
saya kerana saya seorang Orang Asli dari suku kaum Semai, sebagai Ahli Parlimen
ke Dewan Rakyat pula,” katanya. - Berita Harian


