KUALA LUMPUR — Ketika membangkitkan mengenai
kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin, Tun Dr Mahathir Mohamad
berkata Israel adalah sebuah negara penjenayah yang wajar dikecam.
“Saya mohon kepada mereka yang bersimpati dengan perjuangan
masyarakat Palestin agar menyuarakan
kecaman mereka. Keganasan bukanlah satu jawapan.
Loading...
"Satu strategi yang betul diperlukan untuk memberikan
keadilan kepada rakyat Palestin,” kata Perdana Menteri dalam satu posting di
blognya semalam.
Dalam satu tulisan yang agak keras bertajuk “A Genocidal
State”, Dr Mahathir berkata, seluruh dunia dapat melihat ketidakadilan dan
penindasan yang dilakukan Israel terhadap Palestin tetapi Israel tidak pun
dikritik oleh mereka yang bercakap mengenai kebebasan dari ketidakadilan dan
“kedaulatan undang-undang”.
"Israel seperti ada hak istimewa. Jika ada pihak
mengkritik Israel atau pun holocaust, dia akan terus dilabelkan sebagai anti
Yahudi. Memberi implikasi orang itu tidak berperikemanusiaan ataupun tidak
bermoral.
"Tetapi tindakan tidak berperikemanusiaan secara terang-terangan
yang dilakukan Israel tidak dikutuk,” katanya.
Malaysia bukan anti-Yahudi atau anti-Semitik, kata beliau,
sambil menyatakan orang Arab juga adalah kaum Semitik.
“Tetapi kita berhak untuk mengutuk perbuatan tidak
berperikemanusiaan di mana-mana, oleh sesiapa sahaja.
"Kita telah mengutuk rakyat Myanmar atas perbuatan
mereka terhadap Rohingya. Kita mengkritik banyak negara dan orang atas
perbuatan tidak berperikemanusiaan.
“Ramai orang dan banyak negara telah mengutuk kita. Tetapi
kita tidak pernah dilabelkan atau melabel orang yang bersuara perkara benar
dalam dunia yang bebas,” kata Dr Mahathir.
Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa telah membatalkan hak
Malaysia untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang
dijadualkan pada 29 Julai hingga 4 Ogos di Kuching selepas Malaysia menyatakan
pendirian tidak akan membenarkan atlet Israel menyertainya.
“Malaysia halang dua
atlet Israel - AS mengharamkan rakyat lima negara Islam dan merancang untuk
membina tembok menghalang rakyat Amerika Selatan.
“Hungary, Poland dan Republik Czech mengharamkan kemasukan
pelarian. Perdana Menteri Hungary Viktor Orban merujuk pelarian Syria sebagai
'Muslim Penceroboh'," katanya merujuk situasi sekarang yang tidak
munasabah.
Menyedari tentang sokongan kuat terhadap Israel, Dr Mahathir
berkata Malaysia tidak boleh melawan Israel selain enggan mengiktirafnya,
tetapi menyatakan Kuala Lumpur mempunyai hak untuk menghalang kemasukan rakyat
Israel ke negara ini.
“Apabila dunia mengutuk kita kerana perkara ini, kita berhak
untuk mengatakan dunia kini bersikap hipokrit.
"Laungan mereka mengenai hak asasi manusia dan
kedaulatan undang-undang hanyalah omong
kosong,” kata Perdana Menteri.
Kepada mereka yang terlupakan sejarah, Dr Mahathir
mengingatkan mereka Israel wujud dari sekeping tanah Palestin tanpa sebarang
referendum atau pungutan suara diadakan, dengan rakyat Palestin dihalau dari
bumi Palestin tanpa sebarang pampasan untuk tanah dan rumah yang dirampas oleh
Israel.
Katanya, Israel kemudiannya merampas lebih banyak tanah
Palestin supaya Israel menjadi lebih besar, membina lebih banyak penempatan di
bumi Palestin tanpa persetujuan negara Palestin.
"Apabila rakyat Palestin menentang dan melemparkan batu
ke arah kereta kebal dan kereta perisai Israel, askar Israel menembak
menggunakan peluru hidup terhadap anak-anak Palestin dan menangkap mereka.
Mereka ditahan bertahun-tahun tanpa dibicarakan," katanya.
Dr Mahathir merujuk kepada sekatan secara haram terhadap
Gaza, tetapi tidak ada negara yang mengutuk Israel kerana melanggar
undang-undang dan tatasusila antarabangsa.
“Kini Israel isytiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu negara
mereka. Apabila rakyat Palestin menampar tentera Israel, mereka ditembak mati
dan ramai yang ditahan,” katanya sambil menambah rakyat Palestin tidak boleh
melawat saudara mereka tanpa terlepas daripada pemeriksaan yang memalukan di
pelbagai pusat pemeriksaan yang dibina Israel.
Apabila orang Palestin melepaskan roket yang tidak berkesan
ke arah Israel, beliau berkata, Israel akan menggugurkan bom dan menembak
peluru berpandu ke arah bandar-bandar dan perkampungan Palestin, menghancurkan
sekolah dan hospital serta membunuh dan mencacatkan pesakit dan kanak-kanak.
Katanya, beribu-ribu rakyat Palestin telah dibunuh atau
cedera akibat tindakan ketenteraan.
Semua ini, katanya, adalah jawapan kenapa Malaysia tidak
mengiktiraf Israel, tidak mempunyai hubungan diplomatik, tidak membenarkan
rakyat Malaysia melawat Israel ataupun sebaliknya.
“Inilah satu-satunya negara di dunia yang dilayan Malaysia
seperti ini,” kata Dr Mahathir. — Bernama


