KUALA LUMPUR — Peruntukan khas sebanyak RM77 juta
yang diluluskan Kerajaan Pusat kepada peneroka Lembaga Kemajuan Tanah
Persekutuan (Felda) telah selesai diagihkan pada 14 Jan lepas.
Dalam kenyataan hari ini, Felda berkata peruntukan khas itu
adalah bagi Bayaran Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil (BSHPH), bayaran tunggakan
bagi kerja-kerja operasi pembangunan ladang peneroka dan bayaran khairat
kematian kepada 120 waris peneroka.
Loading...
“Seramai 30,799 peneroka telah menerima tuntutan BSHPH pada
31 Dis 2018 dan 4,644 peneroka pula menerima tuntutan pada 14 Jan 2019.
“Oleh itu, semua tuntutan BSHPH telah selesai diagihkan
kepada peneroka dan bayaran ini hanya dibuat kepada peneroka yang terlibat
bawah Program Tanam Semula,” katanya.
Ia tidak melibatkan 851 peneroka di Sungai Koyan yang tidak
terbabit dengan Program Tanam Semula dan tiada tuntutan BSHPH dibuat oleh
mereka.
Semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata isu kelewatan
pengagihan bayaran tunggakan kepada peneroka Felda akan dijawab Menteri Hal
Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terus kepada peneroka ketika
lawatannya ke Sungai Koyan minggu ini.
Menurut Lim, kelewatan berkenaan tidak sepatutnya berlaku
memandangkan peruntukan sebanyak RM77 juta telah diluluskan Kerajaan Pusat pada
20 Dis lepas.
Menurut Felda dalam kenyataan itu, aduan kelewatan
pengagihan bayaran daripada peneroka tersebut adalah berhubung bayaran hasil,
iaitu gaji yang dibayar kepada peneroka berdasarkan jualan kelapa sawit.
“Bayaran hasil tersebut bukan sebahagian daripada BSHPH atau
peruntukan khas RM77 juta yang telah diluluskan,” katanya.
Menurut Felda, bayaran itu dibuat kepada peneroka dua kali
sebulan iaitu pada pertengahan dan hujung bulan, dan kemudian dipinda kepada
bayaran sekali pada hujung bulan.
Katanya bayaran hasil kepada peneroka akan dibayar
menggunakan sumber kewangan Felda. — Bernama


